suria

Gempa Bumi Sumatera Utara: 165 Pelajar Malaysia Selamat

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Acheh, Indonesia berada dalam keadaan selamat berikutan kejadian gempa bumi yang melanda utara Sumatera awal petang semalam.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI), Datuk Dr Junaidy Abu Bakar ketika dihubungi mStar Online di Jakarta berkata, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda yang melibatkan pelajar Malaysia di sana.

Katanya, pelajar Malaysia yang tinggal paling hampir dengan kawasan berlakunya gempa bumi tersebut adalah seramai 165 orang.

"Mereka terdiri daripada pelajar di Institut Agama Islam Negeri Ar- Raniry, Banda Acheh, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai," katanya.

Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda Meulaboh, Aceh, Indonesia pada pukul 12.59 tengah hari semalam, sebahagian daripada pelajar Malaysia yang menuntut di institut berkenaan turut merasai gegaran tersebut.

Junaidy memberitahu, sebaik merasai gegaran tersebut, para pelajar terbabit cemas dan terus bergegas keluar dari rumah masing-masing dan berkumpul di satu kawasan lapang.

"Saya juga dimaklumkan, ketika gegaran, seramai empat orang pelajar kita sedang melakukan aktiviti ko-kurikulum di pantai.

"Selepas diberikan amaran oleh pihak berkuasa, mereka terus bertindak melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi mStar online.

Pun begitu, beliau tidak menafikan kebanyakan pelajar terbabit masih berasa panik dan pening-pening ekoran gempa bumi tersebut.

Menurut Junaidy, pihaknya sentiasa memantau keselamatan kesemua pelajar terbabit dari masa ke semasa, termasuklah mengarahkan mereka supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya tsunami.

"Kalau ada sebarang amaran tsunami yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, sudah tentulah kita akan arahkan mereka supaya berpindah ke tempat yang lebih tinggi dan selamat," katanya.

Gempa itu yang turut dirasai di Medan, Sumatera Utara, menyebabkan penduduknya turut panik, terutamanya mereka yang sedang berada di pusat-pusat membeli belah di bangunan tinggi.

Artikel Lain