suria

Zaid Tak Pernah Mohon Menghadap Sultan Selangor

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim tidak pernah memohon untuk menghadap Sultan Selangor, Sharafuddin Shah.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani kepada mStar Online hari ini.

Malah tidak mungkin baginda memberi perkenan kerana Sultan Sharafuddin baru sahaja berlepas ke London pagi tadi.

"Setakat yang saya tahu hingga hari ini dia (Zaid) tidak pernah memohon menghadap Baginda Sultan. Tapi saya tak pasti kalau dia ada hantar surat mohon perkenan Tuanku kepada pegawai istana yang lain

"Lagipun baginda telah berlepas ke luar negara atas urusan rasmi sehingga hujung bulan ini," katanya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star yang memetik sumber sebagai berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah khabarnya tidak memberi perkenan untuk menerima menghadap Zaid berhubung isu kontroversi yang mempersoalkan titah baginda agar masjid tidak dijadikan medan untuk tujuan berpolitik.

Menurut Mohd Munir, apa yang pasti Tuanku memang tidak akan menerima perkenan menghadap Zaid kerana Baginda baru sahaja berlepas ke London pagi tadi.

Sabtu lalu, Zaid dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mengadap Sultan Selangor, bagi memperjelaskan isu yang mendakwanya menghina baginda melalui laman blog baru-baru ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mencetuskan kontroversi apabila mendakwa arahan Sultan Selangor itu hanya merupakan pandangan peribadi baginda dan bukannya satu arahan yang perlu dipatuhi.

Bagaimanapun kenyataan Zaid itu dibantah oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib yang menegaskan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya sesiapa mengingkari dan mempertikaikan arahan dan perintah Sultan Selangor sambil merujuk kepada Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Pada 6 Oktober tahun lalu, MAIS telah mengeluarkan pekeliling tentang arahan Sultan Selangor supaya masjid di seluruh negeri tersebut tidak digunakan untuk tujuan politik.

Tahun lalu, Sultan Selangor telah mengadakan pertemuan dengan, MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pejabat Mufti negeri sebelum pekeliling tersebut diedarkan.

Pekeliling (MAIS Bil 4/2009) yang dikeluarkan oleh MAIS menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh memberikan ceramah di mana-mana masjid di negeri itu tanpa mendapat kebenaran atau tauliah daripada MAIS.

Pekeliling itu menyatakan MAIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengingkari arahan Sultan Selangor itu.

Artikel Lain