SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia di ruang bawah tanah sebuah kompleks kediaman selepas dilaporkan hilang pada Sabtu.Mangsa ditemukan kira-kira pukul 9 malam di ruang bawah tanah sebuah rumah kelab dalam kompleks perumahan berpagar. Menurut laporan, kanak-kanak itu merupakan anak kepada seorang saintis pertanian dan tinggal bersama bapanya di kompleks kediaman berkenaan. Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan hilang sebelum keluarganya membuat laporan polis, sekali gus gerakan operasi pencarian dilakukan.Siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan disyaki menculik dan membunuh kanak-kanak berkenaan.Suspek turut didakwa meminta wang tebusan sebanyak 20 lakh rupee (kira-kira RM100,000) bagi pembebasan mangsa.Lelaki yang dikenal pasti sebagai Vikram itu dipercayai mengekori mangsa sebelum kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).Kejadian berlaku di Kowkoor, Telangana, India, dengan polis kini meneliti rakaman berkenaan bagi menyusun semula kronologi kejadian serta mengenal pasti pergerakan suspek.Pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan bahawa lelaki itu berkelakuan mencurigakan di sekitar kompleks kediaman berkenaan dalam tempoh dua hari sebelum kejadian.Polis menubuhkan 10 pasukan khas bagi mengesan dan memberkas suspek yang masih bebas.Data lokasi telefon bimbit dilaporkan menunjukkan lelaki itu mungkin bergerak ke arah stesen kereta api Secunderabad selepas kejadian.Bagaimanapun, pihak penyiasat masih meneliti maklumat digital berkenaan bagi mengesahkan pergerakannya.Polis turut mengumpulkan bukti forensik serta meneliti rakaman CCTV dan data telefon bimbit bagi menentukan bagaimana kejadian berlaku serta peranan suspek.Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai keselamatan kanak-kanak di kawasan perumahan berpagar.Setakat laporan berkenaan diterbitkan, suspek masih dalam buruan polis. -Agensi