MUAK ditipu selama bertahun-tahun, seorang wanita membuat laporan terhadap seorang pegawai polis yang bertugas di Balai Polis Saidabad, India.Berdasarkan laporan, wanita itu mendakwa dia diperdaya dan dieksploitasi secara seksual oleh pegawai polis yang bertugas sebagai detektif. Suspek Inspektor Balaswamy kemudiannya ditahan dan direman di Penjara Chancalguda selepas aduan terhadapnya dibuat pada 9 Oktober lalu.Wanita itu mendakwa berkenalan dengan suspek sejak Disember 2016 ketika hadir ke Balai Polis Chandrayangutta bagi mendapatkan bantuan melaksanakan perintah mahkamah.Ketika itu, lelaki berkenaan bertugas sebagai subinspektor pentadbiran sebelum didakwa mula menghubunginya dengan kerap.Pada Januari 2017, suspek dikatakan menyatakan hasrat untuk mengahwininya selepas menyelesaikan beberapa urusan peribadi, termasuk perkahwinan adik perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).Wanita itu mendakwa suspek kemudian datang ke rumahnya pada Mac tahun sama dan menjalinkan hubungan intim atas janji perkahwinan tersebut.Hubungan mereka didakwa berterusan selama beberapa tahun sebelum wanita itu mengetahui lelaki berkenaan sebenarnya sudah berkahwin.Bagaimanapun, suspek dikatakan memberi alasan bahawa dia tinggal berasingan dengan isterinya dan sedang dalam proses perceraian.Apabila wanita itu menghentikan komunikasi, lelaki berkenaan didakwa mengancam untuk mencederakan diri sendiri sebelum sekali lagi berjanji akan mengahwininya.Menurut pengadu, janji perkahwinan tersebut masih diteruskan selepas suami wanita berkenaan meninggal dunia pada Mei 2021.Namun pada 2024, dia mendapat tahu daripada saudara suspek bahawa lelaki itu sudah kembali bersama isteri dan anak-anaknya malah membawa mereka berpindah ke sebuah rumah baharu.Apabila diminta penjelasan, suspek didakwa menghinanya dan menafikan mempunyai sebarang niat untuk mengahwininya. -Agensi