Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan mengulas isu jerebu rentas sempadan pada Sabtu. -Foto Kompas
INDONESIA meminta Malaysia dan Singapura memahami situasi kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kedua-dua negara jiran itu.Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan, berkata kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang berlaku ketika ini bukan berpunca daripada kesilapan manusia, sebaliknya merupakan fenomena alam. Menurutnya, Indonesia berharap negara jiran dapat memahami keadaan berkenaan yang disifatkan berada di luar kawalan manusia."Jadi, kita juga meminta semua negara jiran memahami bahawa perkara ini di luar kesilapan manusia (human error). Ini benar-benar fenomena alam," katanya ketika ditemui di pejabat Lembaga Ketahanan Nasional (Lemhannas), Jakarta.Syahganda turut menegaskan hubungan diplomatik Indonesia dan Malaysia masih berjalan dengan baik sehingga kini.Katanya, kerajaan Indonesia terus berusaha memberikan penjelasan kepada Malaysia dan Singapura berhubung isu jerebu serta langkah yang diambil bagi menangani masalah berkenaan.Dalam pada itu, Syahganda menambah bahawa hutan di Indonesia turut menyumbang kepada bekalan oksigen yang dinikmati negara jirannya."Kita bukan hanya menghantar asap. Jika tiada asap, kita menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia datang dari hutan-hutan kita," katanya lagi.Sementara itu, Syahganda memaklumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar wakil menerusi Menteri Luar untuk membincangkan isu kebakaran hutan dan tanah bersama Menteri Luar Indonesia.Menurut Syahganda, perbincangan terperinci sedang dilakukan bagi membolehkan kedua-dua negara bekerjasama menangani kebakaran berkenaan.Ujarnya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan perkembangan lanjut akan diteliti.Terdahulu, kerajaan Malaysia berharap perbincangan teknikal dengan Indonesia berhubung operasi menangani kebakaran hutan dan tanah dapat diselesaikan dengan segera bagi membolehkannya menghantar pasukan untuk membantu memadamkan kebakaran yang mencetuskan jerebu rentas sempadan. -Agensi