Bayi tidak boleh diberi makanan atau minuman sewenang-wenangnya kerana sistem imun dan pencernaan mereka belum matang. -Gambar hiasan
SEORANG bayi perempuan berusia 24 hari meninggal dunia selepas dipercayai diberi telur mentah oleh neneknya, pada Ahad.Kisah menyayat hati mula mendapat perhatian selepas ibu saudara mangsa, Calista Arisha, membuat hantaran di platform Threads. Menerusi hantarannya pada 8 Oktober, wanita Surabaya, Indonesia itu memohon bantuan pihak yang berkaitan mendapatkan tempat di unit rawatan rapi neonatal (NICU) untuk anak saudaranya yang berada dalam keadaan kritikal.Calista memaklumkan bayi berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Umum Daerah (RSUD) Dr Soetomo, Surabaya, dan memerlukan rawatan rapi dengan segera."Mohon bantuan supaya anak saudara saya dapat ditempatkan di NICU dengan segera. Keadaannya semakin kritikal. Bayi berusia 24 hari ini didakwa diberi telur mentah oleh neneknya dan memerlukan tempat di NICU Hospital Dr Soetomo," tulisnya.Dua hari selepas perkongsian itu dibuat, keadaan bayi berkenaan dilaporkan masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.Menurut Calista, anak saudaranya itu turut mengalami sawan selepas memasuki hari ketiga menjalani rawatan di hospital.Namun, selepas menerima rawatan intensif, bayi berkenaan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad."Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa dia sudah pergi buat selama-lamanya. Anak ini tidak lagi sakit. Kini dia sudah menjadi bidadari di sana," Calista berkongsi berita duka itu menerusi Threads.Dalam pada itu, Calista memaklumkan kes berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Elestianto Dardak.Menurutnya, Emil telah membantu keluarga bayi itu sejak sebelum mangsa dimasukkan ke NICU sehinggalah bayi berkenaan meninggal dunia.Ketika ditanya mengenai kemungkinan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Calista tidak memberikan penjelasan terperinci.Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa pihak keluarga sudah mengambil tindakan susulan.Sementara itu, pihak RSUD Dr Soetomo mengesahkan kematian bayi berkenaan."Bayi berkenaan meninggal dunia pada pukul 7.10 pagi. Kami mengucapkan takziah dan merakamkan rasa dukacita yang mendalam kepada keluarga atas kehilangan bayi tersebut," katanya.Bagaimanapun, pihak hospital belum mendedahkan punca sebenar kematian bayi berkenaan. -Agensi