suria

PPJ Disaran Tambah Prasarana Sukan Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini disaran agar menyediakan lebih banyak prasarana serta kemudahan sukan di sekitar kawasan itu, terutama gelanggang badminton yang pada masa ini amat terhad bilangannya.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata dengan memiliki prasarana sukan yang lengkap, ia bukan sahaja dapat memupuk budaya bersukan di kalangan warga Putrajaya sendiri, malah mampu menyediakan alternatif bagi menjadikan Putrajaya sebagai tuan rumah untuk kejohanan-kejohanan sirkit badminton kebangsaan dan antarabangsa selain daripada Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Dengan erti kata lain, ia akan membantu untuk mempromosikan Putrajaya bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran negara, malah mampu diketengahkan sebagai sebuah pusat aktiviti sukan bertaraf antarabangsa di samping sebagai salah satu destinasi pelancongan yang patut dikunjungi," katanya semasa merasmikan Kejohanan Badminton Komuniti dan Remaja Putrajaya 2010, di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini hari ini.

Kejohanan anjuran PPj dengan kerjasama Persatuan Badminton Putrajaya itu diadakan secara tahunan sejak 2001, dan untuk tahun ini ia berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu dengan penglibatan seramai 500 peserta.

Rosmah berkata selain menyihatkan badan dan mengeratkan tali persaudaraan, bersukan juga mampu menjauhkan remaja daripada terlibat dengan gejala-gejala sosial seperti merempit dan penyalahgunaan dadah.

"Dengan adanya temasya kejohanan badminton komuniti dan remaja seumpama ini bukan sahaja dapat memberi ruang kepada warga Putrajaya serta belia kita untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang positif dan sihat, bahkan ia mampu untuk mewujudkan sebuah komuniti yang lebih produktif serta progresif setaraf dengan para penduduk di bandaraya-bandaraya utama dunia," katanya.

Sementara itu, Rosmah turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan negara dalam menghadapi saingan bagi merebut Piala Thomas dan Uber yang bermula hari ini.

"Sama-samalah kita berdoa agar penantian untuk merebut kembali Piala Thomas berakhir pada kejohanan kali ini," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi piala itu pada 1992. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain