suria

Anggota BN Perlu Komited Pastikan BN Menang di Sibu - Najib

BUTTERWORTH: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setiap anggota Barisan Nasional (BN) dan jentera pilihan raya parti perlu komited dan bersemangat bagi merebut peluang kemenangan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini.

Perdana Menteri berkata setiap anggota perlu memberi tumpuan kepada usaha menjawab segala isu dan menyelesaikan masalah rakyat setempat.

"Kita tidak payah bercakap soal peluang, sekarang ini kita kena cakap pasal kerja pilihan raya, kita perlu pastikan ia berjalan lancar, berkesan dan semua ahli kita komited," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu 2010 di sini, hari ini.

"Kita ada calon yang baik dan rekod yang meyakinkan dan perancangan masa depan untuk pembangunan Sibu.

"Jadi yang penting sekarang ini jumpa pengundi dan yakinkan mereka bahawa inilah perancangan kita (BN) untuk masa depan," katanya.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lepas.

Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon B NRobert Lau Hui Yew, Wong dan calon Bebas Narawi Haron.

Dalam perkembangan lain, Najib menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kenyataan Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim yang didakwa menyebut perkataan berunsur hasutan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua hari lepas. "Memang beliau ada buat kenyataan dan rasa kesal dengan kenyataan itu dan telahpun menarik balik (kenyataan itu)," katanya.

Azhar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang kerana didakwa melanggar peraturan dewan apabila menyebut perkataan disifatkan berunsur hasutan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain