suria

Operasi Potong Air Bil Tertunggak Mulai Esok Di Selangor, KL

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air bagi bil tertunggak mulai esok hingga 15 Mei ini di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara kawasan yang terlibat ialah wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor, kata Syabas dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang belum menyelesaikan bil tertunggak mereka diminta berbuat demikian dengan segera kerana jika pemotongan dilakukan, mereka akan dikenakan kos pemotongan dan penyambungan semula sebanyak RM50.

Kenyatan itu berkata, pembayaran bil tertunggak boleh dibuat di semua pejabat Syabas, pejabat TNB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Telekom Malaysia, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pos Malaysia.

Bayaran juga boleh dibuat di kaunter bank HSBC, Public Bank, RHB Bank, CIMB Bank, Maybank, Agro Bank, Citibank, EON Bank, AmBank, Hong Leong Bank, Bank Islam, Affin Bank, Bank Kerjasama Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Mbf Cards Services. - BERNAMA

Artikel Lain