suria

Geng Pecah Rumah Man Taka Ditahan Polis

JOHOR BAHARU: Polis menahan enam lelaki berumur antara 28 dan 42 tahun di beberapa tempat sekitar Tampoi kerana disyaki terlibat dalam 18 kes pecah rumah di sekitar bandar raya, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kumpulan yang dikenali sebagai Geng Man Taka itu diketuai oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, dan semasa ditahan lima daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini Khamis beliau berkata dengan tertangkapnya mereka polis berjaya menemui semula sebahagian daripada barangan yang dilaporkan hilang dalam beberapa kejadian samun.

Menurutnya antara yang dijumpai adalah sebuah televisyen plasma, dua pembesar suara, enam utas jam tangan, empat telefon bimbit, sebuah kamera digital, dan seutas rantai.

Katanya polis turut menjumpai wang tunai RM7,000, lima buah patung tembaga, dua paket dadah jenis syabu, peralatan komputer, parang, buku lima, dan sebagainya.

Mohd Mokhtar berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Pecah Rumah dan Curi), Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Membahaya 1958 (Memiliki Buku Lima) serta Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Memiliki Dadah-Syabu). - BERNAMA

Artikel Lain