suria

108 Rakyat Asing Ditahan Di Malaysia Kerana Kesalahan Dadah Bagi Tempoh 5 Tahun

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima tahun sehingga tahun lepas, seramai 108 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 53 adalah warga Thailand, 15 warga Peru, masing-masing enam dari Taiwan, Filipina dan Singapura, lima warga India dan empat dari Iran.

Turut ditahan ialah masing-masing tiga dari China, Pakistan dan Indonesia serta seorang masing-masing dari Britain, Hong Kong, Sudan dan Zambia, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Hishammuddin yang menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata kesemua mereka ditahan di pintu masuk negara.

Turut ditahan atas pelbagai kesalahan serupa ialah 104 rakyat tempatan, katanya.

Hishammuddin berkata bagi tempoh yang sama, polis berjaya merampas 45.8 kilogram heroin, 53.6kg kokain, 12.5kg candu, 67.7kg ganja, 194.5kg ketamin, 7.3kg syabu, 61,358 biji pil estacy, 1,455 biji eramin, 64,104 biji pil psikotropik, 171kg daun ketum dan 8.4 liter air ketum.

Bagi menangani kegiatan penyeludupan dadah, kerajaan katanya telah mengambil beberapa langkah termasuk menjalinkan hubungan kerjasama antarabangsa dengan pelbagai agensi penguatkuasaan negara-negara asing.

"Kita juga akan meningkatkan lagi pemeriksaan di pintu-pintu masuk utama sempadan negara dan lapangan terbang terhadap warganegara asing yang berpotensi dan dikenalpasti terlibat dengan sindiket dadah," katanya.

Selain itu Hishammuddin berkata pihaknya juga akan memberi taklimat kepada petugas di pintu masuk negara serta pihak yang berkenaan mengenai modus operandi penyeludup dan sindiket dadah antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain