SUBANG: Taktik dua lelaki dipercayai pekerja sebuah premis perniagaan membekal paip PVC menyembunyikan dadah di dalam paip itu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa terbongkar selepas polis menemui dadah dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini semalam.Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, polis menahan kedua-dua lelaki itu dan merampas serbuk putih 3.4 kg yang dipercayai ketamin itu di dalam sebatang paip, dalam serbuan pada pukul 9 pagi itu. Beliau berkata, lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu dipercayai menggunakan premis berkenaan untuk membungkus dadah berdasarkan penemuan alat penimbang, pengayak dan plastik membungkus dadah."Polis percaya dadah itu dibungkus untuk pasaran tempatan dan nilainya dianggarkan RM40,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.Sementara itu, dalam kes berasingan Zainal berkata, Selasa lepas polis menahan sepasang kekasih selepas menemui pelbagai jenis dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Seri Kembangan, di sini, pada kira-kira pukul 6.30 petang.Beliau berkata, pasangan berusia 28 dan 32 tahun itu ditahan bersama 150 biji pil disyaki dadah eramin 5, syabu (lapan gram) dan ganja (35 gram) yang dianggarkan bernilai RM5,000."Pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek dipercayai digunakan untuk mengedar dadah dan siasatan awal mendapati suspek wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah," katanya.Beliau berkata, pihaknya juga membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Vista Impian Hight, Bukit Serdang di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada hari yang sama dan menjumpai pelbagai jenis dadah.Katanya, ketika serbuan dibuat rumah itu tidak berpenghuni dan polis menjumpai dadah jenis ecstacy sebanyak 149 biji, daun kering disyaki ganja seberat dua gram, eramin 5 (2,600 biji), pil kuda (230 biji) dan syabu (247 gram) yang dianggarkan kesemua dadah itu bernilai RM118,000.Zainal Rashid berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi 16 butir di dalam bilik tidur utama rumah tersebut.Katanya, semua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971. - BERNAMA