suria

Zahid Nafi Pangkalan Udara Sungai Besi Dibangunkan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan laporan sebuah akhbar tabloid yang menyatakan bahawa Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi akan dibangunkan sebagai hab komersial.

Sambil menyifatkan laporan terbabit sebagai tidak berasas, beliau berkata, kem itu masih utuh dan mampu digunakan lagi bagi kemudahan mana-mana pihak dan agensi yang berada di kem tersebut seperti tentera udara, bomba dan juga polis.

Menurutnya, sehingga hari ini pada pengetahuannya, tiada sebarang keputusan atau pelan daripada pihak kerajaan untuk membangunkan kawasan kem terbabit.

"Tiada... belum lagi ada apa-apa keputusan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan cek penajaan Affin Bank kepada syarikat DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Zahid mengulas laporan akhbar itu semalam yang antara lain menyebut bahawa unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk berpindah jika kawasan itu dibangunkan.

Sementara itu, Zahid berkata, Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 ke-12 akan disertai oleh 770 buah syarikat berkaitan pertahanan berbanding 718 buah pada dua tahun lepas.

Katanya, kontrak yang akan ditandatangani melibatkan RM10.417 bilion berbanding kira-kira RM3 bilion pada 2008, dan ia lebih kepada melibatkan pemilikan aset.

"Apa yang penting adalah penyertaan syarikat tempatan dari segi Research and Development, OMR (Optical Mark Recognition) dan juga pengilang," katanya.

Pameran mulai 19 hingga 22 April itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara syarikat tempatan yang dijangka turut serta ialah AMP Corporation, DEFTECH, Nadi Defence, SME Ordnance, Composite Technology Research Malaysia, Tri Level Miltech, Bry Air Industries dan MFDM Group. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain