suria

Awas Sindiket Penipuan Warganegara China

KUALA LUMPUR: Dengan bermodalkan air mata dan rintihan kata-kata simpati, satu sindiket didalangi pelancong asing warganegara China berjaya menipu orang awam yang seperti terpaksa memberikan mereka wang supaya mereka dapat pulang ke negara asal mereka.

Kejadian ini telah berlaku lima tahun lepas (2005) namun kini kembali bermaharajelala di sekitar hotel terkenal, rumah penginapan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dalam kejadian yang terbaru, beliau dan rakan-rakannya sendiri telah dihubungi anggota sindiket ini yang dipercayai terdiri daripada dua kumpulan yang dipisahkan bagi menjalankan kegiatan mereka.

"Saya terima dua panggilan manakala rakan saya turut terserempak dengan mereka ini di KLIA.

"Mereka merayu dan menangis mahukan wang untuk pulang semula ke negara mereka kerana dakwa ditipu orang kita (Malaysia)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket ini akan menghampiri mana-mana mangsa khasnya kaum Cina dengan berpakaian segak dan cantik, dengan ada antara mereka datang seperti suami isteri dan ada juga yang bersendirian.

Chong berkata, mereka ini kemudian akan memulakan lakonan mereka dengan menangis, merayu dan mengeluarkan dialog bahawa mereka datang ke sini untuk berjumpa dengan kenalan dari negara ini untuk berniaga namun telah ditipu.

Katanya, sindiket ini seterusnya merayu kepada mangsa supaya memberikan wang tunai untuk pulang ke negara mereka.

"Ada kes di mana kita dapat tangkap mereka dan mempertikaikan kenapa datang ke negara ini tanpa tiket pergi balik. Ada juga mangsa yang mahu membelikan tiket menggunakan kad kredit namun ditolak sindiket ini."

"Kerana faktor-faktor inilah kita sedar wujudnya penipuan yang telah menjerat ramai mangsa," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan lakonan sindiket ini dan memberanikan diri untuk memberitahu pihak berkuasa jika terserempak dengan mereka bagi dibawa ke muka pengadilan. - BERNAMA

Artikel Lain