suria

ADUN Dedah Guru J-Qaf Di Terengganu Burukkan Pemimpin

KUALA TERENGGANU: Seorang wakil rakyat hari ini mendedahkan ada segelintir guru pengajian Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di negeri itu mencampuradukkan soal politik dalam pengajaran mereka dengan memburukkan pemimpin negara pada kalangan murid.

Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) ketika mendedahkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, isu itu perlu diberi perhatian oleh Jabatan Pelajaran negeri dan kerajaan negeri.

"Saya mendapat aduan beberapa orang ibu bapa di kawasan saya yang menyatakan anak mereka yang masih mentah didedahkan dengan isu-isu politik dan memburukkan nama pemimpin negara," katanya membahaskan usul terima kasih titah perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, di sini.

Katanya, perkara itu mungkin berpunca daripada pengambilan guru j-QAF yang tidak melalui saringan menyebabkan ada lulusan agama yang menyokong fahaman parti pembangkang turut diterima.

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tujuan j-QAF adalah untuk membina akhlak mulia pada kalangan kanak-kanak.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran supaya menambah bilangan sekolah agama dan kelas agama di sekolah harian biasa di negeri itu bagi menampung permintaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain