suria

Jawatankuasa Pendamai Selamatkan Perkahwinan Nadia

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memerintahkan satu jawatankuasa pendamai dilantik sebagai usaha untuk menyelamatkan perkahwinan pengacara rancangan televisyen, Nadia Shahrul Anuar dan suami, Sulaiman @ Mohd. Helmi Mohd. Ilyas.

Hakim Syarie, Mejar Ahmad Alwi Embong mengarahkan wakil-wakil yang dilantik diberi penjelasan berhubung peranan dan tugas yang akan dijalankan serta tempoh selama tiga bulan bermula hari ini untuk proses perbincangan.

Beliau turut menetapkan 15 April ini sebagai tarikh sebutan bagi membolehkan wakil kedua-dua pihak yang dilantik sebagai jawatankuasa pendamai hadir di mahkamah.

Nadia, 26, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada 28 Disember 2009 kerana mendakwa tidak ada komunikasi, persefahaman dan ada penganiayaan badan yang dilakukan suaminya.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah Sulaiman, 29, yang merupakan ahli perniagaan selain beliau berhasrat untuk menghantar notis kembali taat kepada isterinya.

Terdahulu, peguam syarie Azmi Rais yang mewakili Nadia memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan pernyataan tuntutan terpinda sebagaimana yang diarah kepada peguam yang mewakili Sulaiman, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain.

Beliau kemudian memohon agar jawatankuasa pendamai dilantik selepas Mohd. Zaidi memaklumkan anak guamnya tidak setuju bercerai kerana amat sayangkan isterinya.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 sebagai forum untuk perbincangan secara baik bagi menyelamatkan perkahwinan pasangan itu.

Dalam jawatankuasa pendamai, seorang pegawai agama akan dilantik manakala suami dan isteri masing-masing boleh melantik sesiapa difikirkan sesuai untuk mewakili mereka.

Sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai perdamaian, mereka akan mengeluarkan suatu perakuan mengenainya. - Utusan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain