suria

32,762 Unit Rumah PPR Dibina Sekitar KL

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) sedang melaksanakan 25 projek perumahan rakyat (PPR) melibatkan pembinaan 32,762 unit rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, empat projek PPR telah siap dibina tetapi belum diserah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

"Empat projek itu ialah PPR Lapangan Terbang Lama 2 iaitu 920 unit, PPR Bersepadu Pekan Kepong 948 unit, PPR Bersepadu Bukit Jalil 1 dan PPR Bersepadu Bukit Jalil 2 masing-masing 1,896 unit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kong berkata, PPR Bersepadu Pekan Kepong yang mengandungi tiga blok, 18 tingkat di atas tanah seluas 5.395 hektar telah dibina dengan kos RM51 juta dan telah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) pada awal Feb lepas.

"PPR itu dijangka diduduki selewatnya-lewatnya bulan depan dan ini menunjukkan kerajaan serta kementerian ini memandang serius dalam menangani isu berkaitan projek PPR dengan mengambil kira kepentingan rakyat," katanya.

Kong berkata, kos pembinaan PPR ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan manakala kerajaan negeri bertanggungjawab dalam menyediakan tapak yang sesuai serta pemilihan pembeli atau penyewa menerusi Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) berkomputer.

Sasaran utama PPR adalah golongan yang berpendapatan rendah termasuk setinggan dengan jumlah pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 sebulan.

Kadar sewa rumah PPR ialah RM124 sebulan manakala harga jualan rumah PPR dalam lingkungan RM35,000 di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain