suria

Abdul Ghafur Minta Zahrain Tarik Balik Kenyataan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendakwa beliau adalah salah seorang yang akan melompat keluar BN pada peristiwa 16 September 2008 lalu.

Beliau turut menuntut Ahli Parlimen Bebas itu menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepadanya selain mencabar Zahrain mendedahkan kesemua 30 ahli parlimen dan bukannya setakat lapan nama yang didedahkan sebelum ini.

“Setakat lapan orang mahu menubuhkan kerajaan pusat boleh masuk akal ke? Sedangkan Pakatan Rakyat (PR) memerlukan 30 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan pusat.

“Jadi perkara ini adalah tuduhan dan fitnah, bila beliau mahu luahkan, beliau patut luahkan semuanya, bukan setakat main tuduh-tuduh,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, Ghapur turut mempersoalkan mengapa Zahrain boleh menerima semua percakapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun pertukaran kerajaan Pusat tidak mungkin terjadi jika hanya lapan Ahli Parlimen BN yang melompat keluar.

“Beliau sepatutnya tidak menelan semua yang dikatakan Anwar secara bulat-bulat, beliau perlu siasat dahulu kebenarannya, yang menjadi tanda tanya kenapa baru sekarang beliau mendedahkan perkara ini?” katanya.

Ditanya sama ada pernah orang-orang PR datang memujuknya, Ghapur menjelaskan beliau langsung tidak pernah didekati mahupun dihubungi untuk menyertai mereka.

“Saya hanya akan melompat parti jika saya hilang keyakinan terhadap kepimpinan, saya tidak akan melompat jika saya dibeli,” katanya.

Terdahulu, pada sidang dewan, Ghapur mempertikaikan kenyataan Zahrain dengan menggunakan fakta yang salah selain membohongi Dewan Rakyat.

Beliau turut tidak memberi peluang kepada Zahrain mencelah untuk menjelaskan persoalan yang ditujukan.

“Kalau beliau (Zahrain) berkata perkara itu semua adalah pembohongan Ketua Pembangkang, beliau sepatutnya jangan pula luahkan pembohongan beliau di Parlimen,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada Umno agar tidak menerima Zahrain sebagai ahlinya kerana jika bekas ketua PKR Pulau Pinang itu sanggup berpaling tadah terhadap Anwar, dia juga, katanya, suatu hari nanti akan menikam pemimpin BN juga.

Selain Ghapur, Ahli Parlimen dari Sabah yang dinamakan oleh Zahrain ialah Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Artikel Berikut

Artikel Lain