suria

Pengiklan Alpa Patuhi Syarat - Rais

KUALA LUMPUR: Walaupun arahan iklan disyaratkan untuk mencerminkan wajah serta budaya penduduk berbilang kaum di negara ini telah lama wujud tetapi kebanyakan pengiklan didapati alpa untuk mematuhinya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya syarat itu telah lama diwujudkan iaitu ketika beliau menjadi Menteri Penerangan pada tahun 1984 hingga 1986.

"Yang menjadi soalan ialah sekarang terlalu sedikit wajah Asean dan wajah Malaysia di papan-papan iklan di merata tempat di Malaysia, sebab itu kami akan ingatkan semula pengiklan-pengiklan mengenai syarat ini semula," katanya ketika diwawancara dalam rancangan "Soal Jawab" terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung dari Seri Pentas malam ini.

Rais berkata semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, syarat-syarat tersebut telah dikemukakan juga kepada para pengiklan untuk dipatuhi.

"Nampaknya, mereka sudah lupa...jadi kalau lupa, kita harus mengingatkan kembali," katanya.

Sehubungan itu, Rais berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengiklan Malaysia tidak lama lagi untuk mengingatkan mereka supaya bersikap adil dan mempamerkan wajah-wajah Asean ataupun wajah-wajah Malaysia.

Menyentuh penggunaan bahasa dalam iklan, beliau berkata penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh adalah tidak praktikal.

"Kita mesti bersikap adil juga dalam soal pilihan bahasa komunikasi, tinggal lagi peruntukan besar perlu diberikan kepada penggunaan Bahasa Melayu," katanya.

Beliau turut diminta mengulas mengenai penyiaran iklan di stesen televisyen berbayar berbanding stesen televisyen percuma seperti RTM dan TV3.

Katanya siaran iklan di stesen berbayar wajar dilakukan seminimum mungkin memandangkan mereka sudah mendapat wang daripada langganan penonton.

"Jadi, sebaik-baiknya, satu pakatan harus dibuat iaitu muafakat antara pembuat dasar dan syarat, misalnya di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagaimana kita boleh menentukan hak ini berada di tahap yang adil, jika tidak, akhirnya syarikat-syarikat penyiar TV yang tidak merupakan syarikat langganan, mereka makin lama makin hilang nisbah iklannya, dan akhirnya mereka akan terpaksa mengikis banyak daripada manfaat-manfaat yang tertentu," katanya.

Sehubungan itu, Rais berkata kementeriannya akan "membuat penentuan yang adil" supaya syarikat penyiar terbabit tidak berasa terhimpit lantaran tidak ada hak untuk menyiar iklan dan seterusnya mempunyai pilihan tertentu menerusi iklan langganan TV. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain