suria

Wanita Cedera Ditembak Teman Lelaki Polis

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dan abangnya mengalami kecederaan ringan selepas ditembak oleh teman lelaki wanita berkenaan yang merupakan seorang anggota polis di sebuah unit pangsapuri di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Kerinchi, Pantai Dalam, mangsa Prema a/p Ganeson 24, terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh teman lelakinya.

Teman lelaki mangsa dikatakan bekerja sebagai pemandu di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Aziz Zakaria ketika dihubungi Bernama berkata dalam kejadian yang bermotifkan cemburu itu, suspek juga dipercayai melepaskan empat das tembakan.

Abang mangsa, Devandran, 25, juga mengalami cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bernama juga difahamkan suspek juga cuba membunuh diri dengan meminum racun selepas kejadian itu tetapi berjaya digagalkan oleh polis yang bekejar ke tempat kejadian selepas dimaklumkan orang orang awam.

Suspek juga dikejarkan ke PPUM untuk rawatan kerana mengalami kecederaan akibat bergelut dengan abang mangsa.

Difahamkan suspek dan mangsa, yang dijadualkan untuk melangsungkan perkahwinan mereka tidak lama lagi, bergaduh sebelum kejadian berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain