suria

Warga Emas Maut Dipercayai Dibunuh Penyamun

TUMPAT: Seorang wanita ditemui mati dipercayai akibat dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Taman Perumahan Harmoni, Berangan, di sini, hari ini.

Mayat Siti Bidah Hussain, 56, ditemui tertiarap di atas katil dalam bilik tidur oleh jirannya Tengku Maziah Tengku Muda, 60, pada kira-kira pukul 7.15 pagi.

Tengku Maziah berkata, hatinya tergerak untuk masuk ke rumah Siti Bidah setelah mendengar deringan telefon rumah berulang kali di rumah jirannya itu yang tidak diangkat.

"Ketika itu saya sedang bersarapan dengan ibu dan ayah saya, mendengarkan deringan telefon yang tidak berangkat saya pergi ke rumah kak Dah (Siti Bidah) untuk melihat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tengku Maziah berkata, dia mula syak sesuatu yang buruk berlaku kepada jirannya itu apabila melihat mangga rumah berkunci dari dalam.

"Saya terus ambil kunci tambahan yang ditinggalkan Kak Dah di rumah jiran seorang lagi kerana dia selalu berpesan kepada saya jika apa-apa berlaku kepadanya, beliau ada meninggalkan kunci tambahan," katanya.

Katanya, beliau kemudiannya menemui Siti Bidah dalam keadaan tetiarap di atas katil dengan sebiji bantal di atas kepalanya, manakala almari dalam rumah itu kelihatan berselerak dan kesan darah ditemui di dinding rumah.

Tengku Maziah berkata, Siti Bidah tinggal tinggal seorang diri di rumah itu selepas kematian suaminya sejak tiga tahun lalu, manakala seorang anak perempuannya tinggal di Kuala Lumpur, dan seorang lagi di Kuantan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

Mazlan berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menelefon 09-7257223 bagi membantu siasatan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Rombakan Buat Masa Ini: MB

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain