suria

Lebuh Raya Sapulut-Kalabakan Diturap Aspal Dalam RMK-10

KOTA KINABALU: Penggunaan aspal bagi lebuh raya sejauh 145 kilometer yang menghubungkan Sapulut di Nabawan dan Kalabakan di Tawau dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, John Anthony.

"JKR Sabah telah memohon peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai projek itu," katanya ketika diminta mengulas status projek lebuh raya itu yang pernah dipersoalkan oleh pelbagai pihak berikutan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang menyebut jalan Sapulut-Kalabakan didapati tidak mencapai objektifnya iaitu sebagai jalan bertar atau berturap.

Sebaliknya, jalan itu, hanya merupakan jalan berbatu kerikil.

Anthony berkata, lebuh raya itu merentasi sekurang-kurangnya 81 peratus kawasan tanah simpanan dan ini sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pembinaannya.

Beliau juga berkata, dengan siapnya kerja penggunaan aspal di lebuh raya itu, ia akan melengkapkan jalan berturap mengelilingi Sabah.

"Pengguna jalan raya (dari Kota Kinabalu) akan mempunyai pilihan untuk sampai ke Tawau (di pantai timur Sabah) sama ada melalui Sandakan atau melalui Keningau dan seterusnya ke Kalabakan," katanya.

Anthony berkata, JKR juga merancang untuk membina jalan baru antara Kampung Poring, berdekatan dengan Batu 28 Jalan Penampang-Tambunan dan Kampung Mantob di Kiulu, sekaligus mewujudkan jalan pintas Tambunan-Kiulu (Tuaran) tanpa melalui daerah Penampang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain