suria

SPRM Dakwa Inspektor Polis, 2 Penjawat Awam di Mahkamah Sesyen Shah Alam

Lima daripada enam individu termasuk tiga penjawat awam yang dituduh terbabit dalam aktiviti pengeluaran pasir di kawasan Hulu Langat pada Oktober 2009 dan Januari lepas, dibawa keluar oleh anggota polis selepas mereka menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
Lima daripada enam individu termasuk tiga penjawat awam yang dituduh terbabit dalam aktiviti pengeluaran pasir di kawasan Hulu Langat pada Oktober 2009 dan Januari lepas, dibawa keluar oleh anggota polis selepas mereka menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
Lima daripada enam individu termasuk tiga penjawat awam yang dituduh terbabit dalam aktiviti pengeluaran pasir di kawasan Hulu Langat pada Oktober 2009 dan Januari lepas, dibawa keluar oleh anggota polis selepas mereka menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendakwa tujuh individu melibatkan 11 pertuduhan dalam tiga operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Pendakwaan tersebut dilakukan di Mahkamah Sesyen di sini pada jam 8.30 pagi ini atas tuduhan mengambil rasuah dalam aktiviti mencuri pasir di sekitar negeri ini pada tahun 2008 dan tahun lalu.

Kesemua mereka minta supaya dibicarakan.

Antara yang didakwa hari ini ialah seorang inspektor polis, pegawai kerajaan dan seorang surirumah.

Mereka telah ditahan dalam tiga operasi SPRM di sekitar negeri ini.

Selain inspektor polis, dua lagi penjawat awam yang turut didakwa hari ini ialah kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dan juga kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri.

Abdul Halim Khailani, 47, dari Bandar Baru Bangi; Abd Wahab Nordin, 55, dari Rawang; dan Abdul Amir A.Wahab, 40, dari Putrajaya; mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Abdul Halim, seorang penolong pengarah tanah yang bertugas di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat telah didakwa meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad Bustaman, 23, supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas aktiviti pengeluaran pasir tanpa permit yang sah oleh Khairul Anuar di kawasan Lot 1519, Batu 19 1/2 dan Lot 3654, Batu 1/4 Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah & Tanah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kira-kira pukul 11 pagi pada 23 April tahun lepas.

Abdul Halim juga didakwa secara rasuah setuju menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar melalui Mohd Azam Ab Jalil, 30, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di dalam sebuah kereta Perodua Kancil nombor pendaftaran WPN 5287 di Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi pada 24 April tahun lepas. Abd Wahab pula, seorang Penolong Pengurus Tanah yang bertugas di Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) telah secara rasuah memperolehi dari Mohd Shafiq Idrus wang tunai RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai dorongan untuk memproses permohonan Mohd Shafiq bertarikh 6 Oktober 2009 bagi mengusahakan kawasan pasir di sepanjang Sungai Langat, Dengkil, Sepang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Kajang, Ground & Mezzanine Floor, 28-30, Jalan Tukang Pekan Kajang, Hulu Langat, kira-kira pukul 3 petang pada 18 September tahun lepas.

Abdul Amir, seorang Inspektor polis di cawangan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang didakwa telah secara rasuah memperolehi untuk dirinya suapan wang tunai RM200 daripada Lee Keen Seng, 43, di pejabat Cawangan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, kira-kira pukul 2 petang pada 6 November 2008.

Tertuduh juga didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM1,500 daripada Wong Yun Fui, 32, melalui Ahmad Khairi Ley (ulang: Ley) di tempat letak kenderaan di kawasan rehat Lebuhraya Kajang Silk menuju ke Kajang, Hulu Langat, kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 13 November 2008.

Abdul Amir turut didakwa memperoleh bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM4,500 daripada Wong melalui akaun Maybank miliknya di Maybank cawangan Sri Serdang dekat sini, pada 22 Disember 2008, 19 Januari dan 4 Mac tahun lepas. Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori pasir yang membawa lebih muatan.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Halim yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 17 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac depan.

Sementara bagi Abd Wahab yang juga diwakili peguam Amir Khusyairi, mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 20, 21 dan 24 Mei depan serta sebutan kes pada 11 Mac.

Mat Ghani turut membenarkan Abdul Amir yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dibebaskan dengan jaminan RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 6 Julai depan serta sebutan kes pada 22 Mac.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee (she) dari SPRM.

Sebelum ini SPRM telah menahan 34 orang di lima buah negeri dalam operasi khas mengesan kes melombong pasir secara haram.

Adalah dianggarkan kecurian pasir di sebuah negeri setahun telah menyebabkan kerajaan kerugian hampir setengah bilion ringgit.

Aktiviti ini sangat lumayan sehinggakan terdapat sindikit yang bersedia menawarkan khidmat seks ke atas pegawai yang dirasuah sebagaimana yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.

Artikel Lain