suria

Pas Bulanan, Pas Harian KTM Komuter Berwajah Baru

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini melancarkan pas bulanan dan pas harian berwajah baru untuk perkhidmatan KTM Komuter bagi menarik lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan itu.

Presiden KTMB, Dr Aminudin Adnan berkata, perkhidmatan itu diperkenalkan bagi memudahkan penumpang supaya mereka tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter, menjimatkan masa dan kos sekaligus dapat menarik pelancong luar dan dalam negara untuk menuju ke destinasi yang ditawarkan oleh KTMB.

Dua jenis pas itu akan menggantikan tiket bulanan dan tiket pelancong yang pernah diperkenalkan pada 2007 iaitu sempena Tahun Melawat Malaysia dan sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara, katanya ketika berucap melancarkan kedua-dua pas itu di sini hari ini.

"Selain itu, pengenalan kedua-dua pas ini akan mengurangkan perbelanjaan pengguna kerana untuk bulan Februari, KTM Komuter menawarkan diskaun tambang sebanyak 50 peratus untuk pas bulanan.

"Untuk bulan-bulan seterusnya, pengguna yang memilih untuk menggunakan pas bulanan akan menikmati potongan diskaun sebanyak 33 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

Bagi pengguna pas harian pula, katanya sebagai promosi pengenalan untuk bulan Februari harga yang ditawarkan adalah RM10 untuk pengguna dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak manakala untuk bulan-bulan seterusnya RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak iaitu yang berumur lima hingga 12 tahun.

"Harga tersebut adalah menjimatkan dan sangat berpatutan kerana mereka yang memiliki pas harian boleh menaiki tren ke mana-mana 47 stesen KTM Komuter tanpa had pada hari tersebut," tambah beliau.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Aminudin berkata, KTMB akan melakukan penambahbaikan untuk menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter dan mengutamakan keselesaan penumpang. Di samping itu KTMB juga akan melaksanakan beberapa program seperti Arts. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain