suria

3 Lelaki Ditahan Edar Dadah Guna Kotak Limau Mandarin

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengedar dadah yang disyaki heroin bernilai RM225,000 yang disembunyikan di dalam kotak limau Mandarin ditahan dalam satu serbuan di Jalan Imbi di sini tiga hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata, tiga suspek itu yang berumur antara 31 hingga 41 tahun ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah restoran di situ.

"Hasil serbuan, polis merampas lima paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat 2,250 gram yang disembunyikan di dalam satu kotak warna merah yang biasanya digunakan untuk mengisi limau Mandarin," katanya di sini hari ini.

Kang berkata berikutan itu, polis turut merampas dua buah kereta, wang tunai sebanyak RM1,154 dan lima buah telefon bimbit daripada kesemua suspek.

Beliau berkata, dua daripadanya didapati positif dadah selepas ujian air kencing, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain