suria

Wawancara Khas Bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjalankan kempen besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya pengambilan gula berlebihan.

Ini adalah rentetan daripada kenaikan harga gula sebanyak 20 sen pada 1 Januari lalu yang menimbulkan kegusaran banyak pihak terutama pengguna.

Atas dasar tersebut beliau cuba menyakinkan pengguna di Malaysia bahawa kenaikan tersebut adalah satu 'hadiah' daripada kerajaan supaya penduduk di negara ini lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan.

Beliau turut menggunakan laman sosial facebook sebagai medium untuk mendekatkan dirinya dengan masyarakat serta memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan memberikan idea bernas bagi membangun dan memperbaiki kelemahan dalam kementeriannya.

Kerajaan juga memberi jaminan tidak akan menaikkan harga gula dalam masa terdekat demi kepentingan rakyat, katanya.

Ikuti wawancara wartawan mStar Online, MOHD AL QAYUM AZIZI, bersama beliau bagi mengupas mengenai isu kenaikan harga gula dan penstrukturan semula subsidi minyak pada 1 Mei depan.

mStar: Datuk Seri sudah menerajui KPDNKK hampir setahun. Cabaran besar ketika ini tentunya mengenai kenaikan harga gula dan isu subsidi minyak. Bagaimana Datuk Seri menghadapi situasi ini.

Ismail Sabri: Dari segi kesukaran memang jelas kerana KPDNKK berhadapan dengan isu yang melibatkan pengguna.

Berbeza ketika saya bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini, jika pasukan bola sepak mengalami kekalahan sebagai contoh, kemarahan orang ramai terhadap pasukan bola sepak tidak berpanjangan kerana tidak melibatkan kehidupan seharian dan tidak mempengaruhi kehidupan mereka.

Berbeza dengan KPDNKK, kerana apa saja keputusan kementerian akan memberi kesan kepada hidup masyarakat secara langsung mahupun tidak langsung. Itu adalah cabaran terbesar.

KPDNKK mesti mengetahui semua perkara yang berlaku dan segala keputusan yang dibuat harus mengambil kira banyak faktor dan ini adalah tugas yang berat kepada kementerian untuk memuaskan hati semua pihak.

Amat sukar juga bagi pihak kita untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang masalah yang kita hadapi di kementerian.

mStar: Antara alasan kerajaan menarik balik subsidi harga gula adalah untuk menggalakkan masyarakat mengurangkan pengambilan gula dan menjaga kesihatan. Apakah rangka kempen promosi kesedaran yang telah dijalankan oleh pihak kementerian?

Ismail Sabri: Kita seharusnya melihat kenaikan ini sebagai satu permulaan baru untuk mereka mengubah cara hidup yang lebih sihat.

Kajian juga telah menunjukkan pengambilan berlebihan gula menjadi faktor utama kepada penyakit kronik seperti serangan jantung, diabetes, penyakit buah pinggang dan lain-lain.

Menjadi kebimbangan apabila rakyat Malaysia mengambil gula tanpa kawalan. Satu kajian menunjukkan penduduk negara ini mengambil gula secara purata 26 sudu setiap hari walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberitahu kita tidak boleh mengambil gula lebih daripada tujuh sudu setiap hari.

Menjelang tahun 2030, jika tabiat pengambilan gula oleh rakyat Malaysia tidak dibendung, dianggarkan 2.5 juta pesakit kencing manis akan menular di kalangan penduduk tempatan jika tiada pencegahan pengambilan gula secara tidak terkawal.

Sudah pasti kempen besar-besaran akan dijalankan untuk memberi kesedaran kepada pengguna tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Seperti sedia maklum, pada awal Disember lalu kita telah melancarkan kempen ini bersama-sama dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (PPPP) dan KKM yang akan kita akan teruskan pada tahun ini.

Tahun ini untuk menjelajah ke peringkat negeri dan tumpuan khusus akan diberikan kepada pelajar-pelajar di peringkat rendah supaya mereka terdedah dengan isu ini.

mStar: Mengapa kerajaan mengambil langkah untuk menarik subsidi gula secara berperingkat-peringkat dan tidak terus menarik subsidi tersebut?

Ismail Sabri: Ada sebab mengapa kita buat begitu. Pertama jika kita terus menarik subsidi (RM 1.00) harga gula akan meningkat kepada RM2.45 sekilogram.

Saya sebenarnya tidak merasakan jika kerajaan terus menarik subsidi (RM1.00) ini satu bebanan kepada rakyat kerana jika mereka hanya menggunakan dua kilogram gula dalam sebulan, kenaikan yang terpaksa ditanggung hanya RM2.00.

Bagaimanapun, yang menjadi kerisauan pihak kerajaan adalah, peniaga-peniaga akan menggunakan alasan ini untuk menaikkan segala jenis barangan termasuk barangan yang tidak berkaitan dengan gula.

Itu akan memberi satu masalah lain kepada kerajaan untuk ditangani. Oleh sebab itu kita ingin memberi kesedaran terlebih dahulu kepada masyarakat bahawa gula membahayakan kesihatan.

Apabila mereka sedar tentang perkara itu mereka sendiri akan menolak penggunaan gula dan apabila harga gula naik pada masa hadapan mereka tidak akan kisah kerana telah menolak penggunaan gula secara berlebihan.

Itu adalah misi kita sekarang untuk mendidik pengguna tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

mStar: Bagaimana dengan Akta Kawalan Harga yang akan dipinda Mac ini pada sesi Parlimen akan datang supaya satu bahagian baru iaitu bahagian mencegah keuntungan luar biasa diperkenalkan. Apa komen Datuk Seri?

Ismail Sabri: Akta Kawalan Harga yang akan dipinda pada Mac ini pada sesi Parlimen akan datang bertujuan supaya satu bahagian baru iaitu bahagian mencegah keuntungan luar biasa diperkenalkan.

Ini adalah kerana buat masa ini kerajaan tidak boleh mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sedangkan barang tersebut tidak terdapat dalam senarai Akta Kawalan Harga oleh kerajaan.

Insya-Allah dengan adanya bahagian baru ini akan mengekang peniaga-peniaga daripada menaikkan harga barangan sesuka hati.

mStar: Kerajaan menanggung beban apabila 30 peratus gula yang diimport berdasarkan harga semasa dunia manakala 70 peratus gula mengikut perjanjian jangka panjang yang akan tamat dua tahun lagi. Adakah ini faktor utama kerajaan mula menaikkan harga gula di pasaran sekarang?

Ismail Sabri: Memang kerajaan terbeban walaupun 70 peratus gula kita import dengan harga lama kerana ada kontrak.

Namun bebanan yang akan ditanggung oleh kerajaan akan berganda setelah kontrak itu tamat nanti.

Malah tahun lalu sahaja kita telah menyediakan subsidi sebanyak RM270 juta berikutan kenaikan harga gula dunia.

Tahun ini sahaja kerajaan menanggung kos subsidi berjumlah RM1.008 bilion bagi mengekalkan harganya.

Bagaimanapun, kita tidak berhasrat untuk menarik subsidi gula itu terus walaupun perjanjian pembelian bekalan itu akan tamat nanti.

Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum pihak kerajaan membuat sebarang keputusan.

mStar: Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno sebelum ini mencadangkan subsidi gula diurus melalui pakej pampasan atau bantuan khusus kepada golongan yang memerlukan. Apa komen Datuk Seri.

Ismail Sabri: Sudah tentu saya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga sayap Umno itu.

Malah jika difikirkan mengenai isu gula ini, adalah lebih baik duit yang digunakan oleh kerajaan untuk menanggung subsidi gula itu disalurkan kembali kepada rakyat yang memerlukan seperti membangunkan rakyat termiskin, memperbaiki bidang pendidikan dan kesihatan.

Tapi malangnya duit tersebut digunakan untuk gula yang memberikan keburukan terutama kepada kesihatan.

mStar: Bagaimana kerajaan memastikan golongan sasaran dapat membeli minyak dengan mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat pada Mei depan?

Ismail Sabri: Secara dasarnya pengagihan sudsidi di negara kita tidak menepati prinsip subsidi sebenar seperti yang diamalkan di negara-negara lain di mana golongan miskin dan sederhana yang layak mendapat subsidi.

Tetapi di negara kita, semua golongan termasuk orang kaya juga mendapat subsidi daripada kerajaan.

Oleh sebab itu kita akan memperbetulkan prinsip ini. Hanya golongan miskin dan sederhana akan mendapat subsidi.

mStar: Kekhuatiran sama ada mekanisme tersebut praktikal dan dapat dilaksanakan dengan berkesan, setakat ini ada cadangan untuk perbaiki mekanisme itu?

Ismail Sabri: Ada beberapa mekanisme dikenal pasti untuk memperbaiki sistem yang bakal digunakan pada Mei depan dan antara isu yang menjadi perhatian adalah berkaitan dengan kuasa enjin kereta, pendapatan pemilik kereta dan lain-lain akan diambil kira. Semua perkara ini perlu diperhalusi dan Insya-Allah akan diumumkan dalam masa terdekat.

mStar: Pasaran gelap pasti akan berleluasa apabila kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi petrol, apa langkah kerajaan untuk mengurangkan risiko kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini?

Ismail Sabri: Kita lakukan beberapa perkara untuk cuba mengurangkan kegiatan penyeludupan petrol mahupun gula. Ada beberapa kaedah telah kita kenal pasti, bagaimanapun ia akan diumumkan kemudian kerana masih dalam peringkat perbincangan.

mStar: Datuk Seri menggunakan laman sosial facebook sebagai medium untuk mendapatkan pelbagai pandangan mengenai isu yang berkaitan dengan KPDNKK. Bagaimana sambutan dan adakah Datuk Seri mengambil kira pandangan mereka?

Ismail Sabri: Apa sahaja perkara yang berlaku pada kementerian saya akan saya kongsi dengan rakan-rakan di facebook.

Sambutan juga amat menggalakkan dan saya akan meluangkan masa untuk membaca semua komen dan pandangan mereka.

Pandangan mereka sudah tentu saya ambil kira kerana itu adalah suara daripada rakyat.

Saya akan ambil sebagai panduan dan jika bersesuaian akan saya cadangkan kepada peringkat yang lebih tinggi.

Artikel Lain