suria

Nik Sapeia Dihukum Enam Bulan Penjara

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff kerana didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.

Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Nik Sapeia, 56, yang kelihatan tenang ketika Azman menjatuhkan hukuman itu, kelihatan tersenyum selepas pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan.

Sebaik selesai, Nik Sapeia yang berada di kandang saksi sempat menoleh kepada keluarga dan penyokongnya yang duduk di galeri awam sambil berkata: "Sabar kerana masih ada peluang lagi."

Sebelum menjatuhkan hukuman penjara itu, Azman berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan awam. "Keputusan ini juga boleh memberi pengajaran kepada masyarakat," katanya.

Peguam Nik Sapeia, Saseedharan Menon, kemudiannya memohon pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani bagaimanapun membantah permohonan itu kerana mahkamah perlu mengambil kira faktor-faktor yang relevan. "Apa yang dilakukan tertuduh adalah serius dengan kesalahan yang dilakukannya dan saya membantah sebarang penangguhan hukuman," katanya.

Ketika membuat rayuan, Saseedharan berkata, setiap keputusan perlu mengambil kira kedudukan Nik Sapeia dalam politik dan masyarakat.

"Tertuduh adalah Naib Presiden Parti Progresif Penduduk dan sudah tentu ia menjejaskan nama baik beliau dari kaca mata masyarakat dan penyokong. Beliau juga dihormati oleh masyarakat kerana sering membantu mereka tanpa mengira bangsa," katanya.

Seorang lagi peguam tertuduh, Zainal Abidin Mustaffa berkata, jika Nik Sapeia dipenjara, sudah tentu kariernya dalam politik dan perniagaan akan musnah.

"Perniagaannya kini sudah terjejas selama hampir tiga tahun dan banyak mengalami kerugian kerana kes ini.

"Penjara boleh menghancurkan kariernya, dan jika dikenakan denda, kami memohon jumlah denda sebanyak RM2,000 sahaja," kata Zainal Abidin.

Idham pula memohon agar Nik Sapeia dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukannya itu sangat serius.

Katanya, bahan semburan itu adalah daripada jenis kimia yang berbahaya kerana boleh menyebabkan sakit mata dan bahang panas pada anggota badan.

"Apa yang tertuduh buat adalah sesuatu yang tidak wajar kerana melakukannya demi kepentingan sendiri dan dengan itu hukuman denda sahaja adalah tidak memadai," katanya.

Nik Sapeia didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, pada jam 11 pagi 28 Julai 2006.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Selain Dr Mahathir, Nik Sapeia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Datuk Ibrahim Ali, 58, Mohd Nasir Muda, 48, dan Suberi Sahidan, 50. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain