ANAK lelaki kepada pasangan selebriti Korea Selatan, Hyun Bin dan Son Ye Jin menjadi tumpuan apabila rakan-rakan artis memuji rupa parasnya yang disifatkan seperti watak kartun.
Memetik laporan Allkpop, Hyun Bin muncul dalam rancangan hiburan YouTube Nattering with Na yang dikendalikan oleh Na Young Suk, bersama barisan pelakon siri asli Disney+ Made in Korea iaitu Park Yong Woo, Seo Eun Soo dan Woo Do Hwan.
Dalam temu bual berkenaan, Yong Woo mengulas wajah anak pasangan terkenal itu dikatakan sangat comel.

Ye Jin (kiri) dan Hyun Bin masih lagi belum berkongsi wajah cahaya mata mereka.
“Dia sangat kacak. Saya pernah melihat gambarnya dan sejujurnya terasa seperti dia keluar daripada dunia kartun.
"Wajahnya memang seperti watak kartun," katanya.
Hyun Bin kemudiannya berkongsi perkembangan anak lelakinya yang kini berusia tiga tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Demi isteri, Hyun Bin sampai terkangkang rakam foto Son Ye Jin
ARTIKEL BERKAITAN: Tampil imej rambut panjang dan berjanggut, Hyun Bin semakin kacak sejak jadi daddy
Menurut aktor berusia 43 tahun itu, anaknya sebelum ini sangat meminati motosikal dan sering menegur penunggang penghantar barang ketika mereka keluar berjalan-jalan atau ke taman permainan.
"Sekarang dia berusia tiga tahun. Dia belum faham perkataan yang susah tetapi sudah pandai menyatakan pendapatnya dengan jelas, seperti ‘tak suka ini’ atau ‘suka itu’.
“Dulu dia sangat sukakan motosikal. Bila kami keluar berjalan atau ke taman permainan, dia akan menegur penunggang penghantar barang sambil berkata, 'Hello'," katanya.
Untuk rekod, Hyun Bin mendirikan rumah tangga bersama Ye Jin pada 31 Mac 2022 di sebuah majlis tertutup berikutan penularan Covid-19.
Pada 27 November tahun sama, Ye Jin selamat melahirkan cahaya mata pertama selepas lapan bulan berkahwin.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


