PELAKON Nazim Othman menganggap keputusan rakan gandingannya dipercayai Aprena Manrose yang didakwa tidak lagi mengenakan hijab bukan satu keputusan mudah.
Nazim berkata, setiap individu melalui ujian hidup yang berbeza-beza dan mengakui adakalanya iman naik dan turun.
Nazim membuat penjelasan itu menerusi ruangan komen di akaun rasmi Melodi yang berkongsi video sesi fotografi drama terbaharu mereka berjudul Nur Untuk Ariff.
Dalam video berkenaan, Aprena tampil tanpa hijab sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan komen sinis daripada netizen.
Nazim meminta netizen untuk mendoakan yang baik-baik buat rakan gandingannya yang kini tampil tidak berhijab.
“Assalamualaikum semua, semoga kalian berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sejak promosi drama ini keluar di media sosial, rata-rata komen memperkatakan tentang imej rakan lakon saya yang kini tampil tanpa hijab.
“Ujian setiap manusia berbeza. Kami ada beberapa perbualan di set penggambaran mengenai turun naik iman masing-masing. Ya, pelakon pun ada berbincang tentang perkara ini sesama sendiri,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aprena Manrose sudah tidak bertudung? Penampilan terbaharu cetus tanda tanya
ARTIKEL BERKAITAN: Aprena Manrose dedah sudah cerai, cuba bertahan tetapi gagal
Nazim berkata, dia mengakui mempunyai kebimbangan, namun berpandangan rakan gandingannya itu masih mempunyai pegangan walaupun berada dalam fasa rapuh.
“Berdasarkan pemerhatian saya, dia masih ada pegangan cuma berada di fasa rapuh. Saya tidak cuba menghalalkan apa yang salah, cuma saya rasa ralat dengan komen-komen yang sinis.
“Dia berdiam diri, tetapi dalam hatinya hanya Allah yang tahu,” katanya.
Nazim dan Aprena bergandingan dalam drama terbaharu berjudul Nur Untuk Ariff.
Dalam masa sama, Nazim memohon orang ramai mendoakan perkara baik-baik buat Aprena, selain mengingatkan agar setiap individu turut merenung dan memperbaiki diri sendiri.
“Mohon doakan yang baik-baik untuknya, saya juga dan diri kalian sendiri. Semoga kebaikan berbalik kepada kalian juga,” katanya.
Terdahulu penampilan Aprena mencuri perhatian apabila dilihat tidak memakai tudung ketika menjalani penggambaran drama Nur Untuk Ariff.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


