suria

Lebih 600 Tong Gas Memasak Disita

SHAH ALAM: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merampas 640 tong gas memasak 14 kg dan 142 tong gas industri 50kg daripada sebuah stor di Kampung Baru Subang dekat sini petang tadi.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Kementerian Mohd Hashim Mat Daud yang mengetuai serbuan itu berkata premis itu diserbu kerana didapati tidak mempunyai lesen untuk menyimpan gas memasak 14 kg yang disubsidi oleh kerajaan.

Selain daripada itu, sebuah lori tiga tan turut dirampas dan kesemua barangan rampasan ditaksirkan bernilai RM73,300, katanya ketika dihubungi di sini.

Daripada 640 tong gas memasak itu, 112 daripadanya didapati kosong dan 112 daripada 142 tong gas industri juga didapati kosong, katanya.

Beliau berkata serbuan bersama sembilan anggota penguatkuasa daripada Putrajaya pada pukul 4.10 petang itu hasil daripada maklumat orang awam.

Pemilik stor itu seorang lelaki berumur lingkungan 40-an telah diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1991 kerana menyimpan barangan bersubsidi tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan bagi orang perseorangan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain