suria

Dr Mahathir Ada Hak Saman Wain, Kit Siang Dan Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mempunyai hak untuk menyaman dua individu dan sebuah portal berita kerana menuduhnya membazirkan RM100 bilion bagi projek-projek mega sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Diraja yang dicadangkan pemimpin DAP Lim Kit Siang, bagi menyiasat sama ada beliau telah membelanjakan wang tersebut bagi projek-projek mega dan amalan rasuah sepanjang tempoh itu.

"Bergantung kepada keputusan suruhanjaya (yang dicadangkan), saya berhak untuk saman (penulis) Barry Wain, Lim Kit Siang dam Malaysiakini.com kerana membuat fitnah bagi jumlah yang akan diumumkan kemudian," katanya dalam blognya semalam.

Wain merupakan penulis buku "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times", menganggarkan bahawa Dr Mahathir telah membazirkan sehingga RM100 bilion sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, Wain mesti menyediakan bukti kukuh berkenaan mana-mana amaun yang didakwa telah "hangus" itu.

Beliau juga mengalu-alukan cadangan Lim semalam, yang menggesa kerajaan untuk mewujudkan suruhanjaya diraja sama ada beliau ada membazirkan sejumlah wang berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain