suria

Polis Kelantan Tahan Geng Curi Kereta

KOTA BAHARU: Polis Kelantan menahan dua lelaki termasuk seorang yang disyaki dalang pengeluar cukai jalan palsu, dipercayai terbabit dalam kes kecurian kenderaan yang dilaporkan semakin meningkat di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kedua-dua lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan di dua tempat antara pukul 3.40 petang dan 4.40 petang serta merampas tiga buah kereta, sebuah komputer dan 23 kunci kereta.

"Polis turut merampas sepucuk senapang angin buatan sendiri dan beberapa alatan lain yang dipercayai boleh diguna dalam mencuri kereta," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata lelaki pertama ditahan di Kampung Tok Uban, Pasir Mas dan pukul 3.40 petang dan polis merampas tiga buah kereta iaitu sebuah Mitsubishi, Toyota Hilux dan Proton Iswara yang masing-masing dilaporkan hilang di Gua Musang, Gerik di Perak dan di Melaka.

"Polis turut merampas satu set kunci sebanyak 23 jenis yang dipercayai boleh diguna untuk membuka pintu kenderaan," katanya.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu polis menahan seorang lagi lelaki di Tanah Merah, kira-kira sejam kemudian, serta merampas sebuah komputer, dipercayai diguna mengeluarkan dokumen palsu untuk kenderaan dicuri termasuk cukai jalan palsu.

"Kedua-dua kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata sejak Januari hingga semalam sebanyak 738 kes kecurian kereta dilaporkan di Kelantan iaitu meningkat sebanyak 42 kes atau 11 peratus berbanding dengan tempoh sama tahun lepas, iaitu 696 kes.

"Sepanjang tempoh itu, seramai 130 orang suspek ditahan bagi membantu siasatan dan berjaya menyelesaikan sebanyak 179 kes," katanya.

Beliau meminta orang ramai menjaga keselamatan kenderaan masing-masing termasuk menggunakan kunci kedua bagi mengelak kecurian.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain