suria

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Terima Kunjungan Anggota Parlimen UK

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee hari ini menerima kunjungan hormat dua Anggota Parlimen United Kingdom (UK) di bangunan Parlimen di sini.

Mereka adalah William Nigel Paul @ Bill Cash dari Parti Konservatif dan Fraser Kemp dari Parti Buruh.

Pada pertemuan selama 40 minit itu, kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat dan pengalaman mengenai sistem Parlimen di negara masing-masing.

Ronald berkata keduadua anggota Parlimen itu turut memuji sistem penubuhan kerajaan Malaysia yang dilihat berbeza daripada apa yang diamal di negara mereka.

"Mereka melihat sistem Barisan Nasional yang unik di mana kita boleh berbincang sebelum pilihan raya dan menubuhkan kerajaan hasil daripada perbincangan itu dan ini menurut mereka tidak berlaku di sana (UK). Di sana ada kuasa luar yang menjadi kuasa penentu kepada mana-mana parti yang akan membentuk kerajaan," katanya yang ditemui selepas pertemuan itu.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang juga Anggota Parlimen Bachok dan Anggota Parlimen Kanowit Aaron Dagang. BERNAMA

Artikel Lain