suria

Wanita Ditemui Mati Dengan Tangan Terikat Dan Mulut Tersumbat

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita dengan tangan terikat dan mulut disumbat kain ditemui suaminya di rumah mereka di Hulu Langat malam tadi. Mayat Yong Ah Hwa, 55, yang bekerja sebagai penjaga kolam ikan, ditemui suaminya yang berumur 72 tahun pada 11.30 malam tadi di bahagian dapur rumah mereka yang terletak berhampiran sebuah kolam ikan di Ulu Perdik, Batu 18, Hulu Langat, kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood.

"Terdapat kesan darah keluar dari mulut mangsa manakala senjata atau alat yang digunakan untuk membunuh mangsa tidak ditemui," katanya.

Mohd Shakaruddin menolak samun sebagai motif pembunuhan kerana barangbarang berharga dan wang tunai milik wanita itu tidak hilang.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki berhampiran sebuah pasar di Kampung Baru, Sungai Buloh.

Mayat S Shankar, 35, ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 9.50 malam tadi, kata Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Supt Abdul Razak Eliyas.

Beliau berkata seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis masih menyiasat punca kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain