suria

ADUN Melor Hadapi Kes Mutaah RM3juta, Kini Uzur Di Mekah

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, yang sedang menghadapi kes tuntutan mutaah bekas isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini membabitkan RM3 juta, kini uzur ketika mengerjakan haji di tanah suci Makkah. Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata pegawainya menerima panggilan telefon semalam dari Wan Ismail, di Makkah menyatakan beliau sakit ketika mengerjakan haji di tanah suci itu.

Nik Aziz berkata, beliau tidak mengetahui secara jelas penyakit yang dihidapi ADUN itu hanya berdoa supaya kesihatannya kembali pulih dan dapat kembali ke tanah air mengikut jadual.

"Saya hanya dapat tahu dari pegawai saya semalam, Wan Ismail sakit di Makkah dan keadaannya agak letih dan saya mendoakan agar kesihatannya pulih," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Nik Aziz berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai keadaan Wan Ismail kerana timbul spekulasi Wan Ismail dikatakan muntah darah dan uzur teruk ketika menunaikan haji.

Wan Ismail, 59, menghadapi kes tuntutan mutaah bekas isterinya, Siti Aishah Chou Abdullah, 25, berasal dari Kemboja, sebagai pampasan perceraian mereka mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

Pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, disahkan bercerai pada 18 November tahun lalu oleh mahkamah yang sama.

Pada pilihan raya umum 2008, Wan Ismail mengalahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor Azmi Ishak (Barisan Nasional) dengan majoriti 1,616 undi setelah beliau memperoleh 8,390 undi.

DUN Melor terletak di bawah kerusi Parlimen Ketereh yang mempunyai dua lagi kerusi DUN iaitu DUN Kadok dan Kok Lanas. BERNAMA

Artikel Lain