suria

SPRM Akan Siasat CEO PMBK Biarpun Letak Jawatan

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan salahguna kuasa dan penyelewengan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman walaupun beliau meletak jawatan.

Menurut sumber SPRM siasatan itu merupakan prosedur biasa berikutan timbulnya pelbagai dakwaan dalam PMBK.

"Sehingga kini pihak SPRM sedang mengumpulkan segala bukti dan dokumen yang telah diperoleh apabila pihak kami datang ke PMBK pada awal bulan ini dan siasatan terhadap kes itu sudah separuh selesai," katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK bagi mengelakkan sebarang fitnah menerusi laman blog dan surat layang untuk menjaga nama baik PAS.

Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai di sini pada 9 November lalu. Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai anggota keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.

Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Malah timbul spekulasi bahawa Husam akan meletakkan kesemua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri berpunca daripada kemelut dalaman PMBK kerana pihak tertentu mendakwa beliau adalah dalang di sebalik masalah tersebut. BERNAMA

Artikel Lain