suria

Buku Laporan Siasatan Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa Belum Lagi Dijual

KUALA LUMPUR: Buku laporan mengenai siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa pada 6 Dis lepas belum lagi dapat dijual kepada orang ramai seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Tinjauan Bernama di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini mendapati bahawa orang ramai dan pihak media yang mahu membeli buku itu hanya diminta meninggalkan nama dan nombor telefon di kaunter yang disediakan.

Pada 18 Nov lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata orang ramai boleh memperoleh kandungan laporan siasatan yang disediakan Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya, berkenaan daripada MPAJ mulai hari ini.

Ketika dihubungi, sumber MPAJ memberitahu Bernama bahawa buat masa ini mereka belum mendapat sebarang arahan daripada pihak atasan untuk menjual buku itu.

Katanya pihak MPAJ akan menghubungi mereka yang sudah mendaftar nama untuk memiliki buku berkenaan bagi mengambilnya kelak.

Buku laporan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan dijual dengan harga RM80. BERNAMA

Artikel Lain