suria

Warga Malaysia Dibayar RM118,000 Untuk Seludup Pelarian Tamil Sri Lanka Ke Australia

MELBOURNE: Seorang pelarian etnik Tamil Sri Lanka telah mendedahkan kepada sebuah akhbar bagaimana seorang penyeludup manusia profesional di Malaysia memberikannya dokumen perjalanan palsu bagi membolehkan beliau memperoleh visa perlindungan sebaik tiba di Australia.

Lelaki berusia 23 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai 'Sanjay' memberitahu akhbar "The Australian" bahawa beliau meninggalkan rumahnya di Semenanjung Jaffna pada 2007 ketika kemuncak konflik antara tentera Sri Lanka dan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sanjay, yang mendakwa tidak mempunyai hubungan dengan LTTE, berkata beliau ditahan selama 20 hari pada 2007 di mana beliau diseksa termasuk dipukul dengan belantan dan pangkal senapang serta dicucuk dengan putung rokok.

Beliau kemudian melarikan diri ke Malaysia pada pertengahan tahun 2007.

Katanya pada awal tahun ini beliau diperkenalkan kepada seorang penyeludup manusia berbangsa Tamil di Malaysia yang memaklumkan bahawa perjalanan ke Australia dengan bot akan menelan belanja US$15,000 (RM50,641) manakala kos itu berganda jika menaiki penerbangan.

Bimbang dengan menghantar anak lelaki tunggal mengharungi lautan, keluarga Sanjay, yang memiliki perniagaan pengangkutan di Jaffna, menjual rangkaian kenderaan mereka untuk menanggung kos perjalanan ke Australia.

Bayaran US$35,000 (RM118,146) dibayar terus kepada ejen di Malaysia.

Sanjay kemudian diberi tiket penerbangan sehala ke Australia dengan sebuah pasport palsu Kanada serta visa palsu Australia.

Beliau kemudian menaiki pesawat ke Australia pada 12 April lalu. Dimaklumkan oleh penyeludup manusia dari Malaysia bahawa beliau akan diusir jika ditahan dengan dokumen palsu, Sanjay mengoyak pasport semasa dalam penerbangan dan membuangnya dalam tandas.

Sebaik sahaja tiba, Sanjay pergi ke kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dan memberitahu pegawai imigresen bahawa beliau adalah seorang pelarian Sri Lanka.

Beliau kemudian ditahan di pusat tahanan Villawood selama enam bulan sebelum dibebaskan dengan menerima status penduduk tetap beberapa minggu lepas.

Menurut jurucakap Jabatan Imigresen dan Kewarganegaraan Australia, pada tempoh 2008-2009, seramai 206 pelarian bot diberikan visa perlindungan selepas tiba di Australia manakala 2,172 menerima visa perlindungan selepas tiba dengan pesawat. BERNAMA

Artikel Lain