suria

Banjir Di Kelantan Dan Terengganu Semakin Buruk

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk petang ini, di mana di Terengganu kesemua daerah di negeri itu dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Sementara jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu telah dinaiki air sedalam 0.5 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan petang ini.

Jumlah jalan di negeri itu yang ditutup kepada kenderaan berat dan ringan kini meningkat kepada 28 iaitu Hulu Terengganu (10), Marang (lapan), Setiu (lima), Besut (tiga) serta Dungun (dua).

Sementara itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 4,627 orang di Terengganu berbanding 2,309 pada pagi tadi, manakala 1,644 mangsa di Kelantan berbanding 793 orang pada sebelah pagi.

Manakala keadaan di Pahang dan Perak tidak banyak perbezaan berbanding pagi tadi di mana di Pahang hanya 22 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, dan di Perak pula mangsa di pusat pemindahan kekal kepada 824 orang.

Di KUALA TERENGGANU, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata peningkatan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan pada petang ini meningkat dengan mendadak berbanding pagi tadi berikutan beberapa kawasan di kesemua daerah di negeri itu telah dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Di Hulu Terengganu seramai 1,313 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan pada petang ini berbanding 595 pada pagi tadi.

Begitu juga di Kemaman sebanyak 1,122 mangsa berbanding 711 pagi tadi, Setiu 478 (330), Dungun 560 (138), Besut 894 (516) dan Marang 251 (19)," katanya.

Jurucakap itu berkata sebanyak 85 pusat pemindahan setakat ini dibuka di seluruh negeri iaitu Hulu Terengganu (25), Marang (enam), Dungun (sembilan), Setiu (11), Besut (17) dan Kemaman (17).

Bacaan paras air Sungai Berang di Hulu Terengganu, Sungai Marang dan Sungai Dungun, masing masing telah meningkat ke paras bahaya pada petang ini.

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal mencatatkan 17.20 meter (bahaya 16 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan (14.09 meter dan bahaya 13.70 meter), Sungai Dungun di Kuala Jengai, (20.47 meter dan bahaya 19.80 meter) dan Kemaman di Batu Putih mencatat bacaan 4.30 meter (bahaya 3.20 meter).

Jurucakap itu berkata paras air di Sungai Setiu dan Sungai Nerus juga masih berada di peringkat bahaya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Di KELANTAN jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata mangsa banjir yang terlibat adalah 724 penduduk di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (635), Tanah Merah (264), Pasir Puteh (36) dan Machang (empat orang).

Katanya jalan utama Persekutuan yang menghubungkan Kelantan ke Terengganu, Kota Baharu ke Gua Musang dan Gerik ke Jeli masih boleh dilalui kenderaan ringan, manakala jalan utama yang hanya boleh dilalui kenderaan berat adalah Jalan Kota Baharu ke Kuala Krai di Kampung Sungai Durian, Batu Lapan dan Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

"Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang dilaporkan semakin meningkat naik melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.66 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya 9 meter)," katanya.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai serta Tualang, Gua Musang juga kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.85 meter (bahaya 16 meter), Tangga Krai 26.12 meter (bahaya 25 meter) dan Tualang 35.40 meter (bahaya 35 meter).

Penduduk Kota Baharu juga diingatkan supaya berwaspada berikutan bacaan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja kini mencecah 4.80 meter (bahaya lima meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehigga kini dan keadaan di Kelantan masih mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, sehingga 5 petang ini 22 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir negeri itu selepas rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air, kata jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.

"Pemindahan itu hanya melibatkan Kuantan, tiada pemindahan dilaporkan berlaku di daerahdaerah lain setakat ini," katanya.

Di IPOH,jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kerian berkata mangsa banjir masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dan SJKT Simpang Lima.

"Kampung-kampung yang masih dilanda banjir adalah Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima. Ia dinaiki air lebih satu meter akibat limpahan empangan Kolah Bukit Merah dan Sungai Beriah kerana hujan berterusan sejak 10 hari lepas," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain