suria

Penjara Kekal 4 Tahun, Denda Meningkat Ke RM1.9 Juta Terhadap YDP MPK

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini mengenakan denda RM1.925 juta dan mengekalkan hukuman penjara empat tahun terhadap bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Baharudin Ahmad, 51, hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah membabitkan nilai wang RM385,000 dan set golf bernilai RM2,500 pada 1999.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zamani A. Rahim menjatuhi hukuman itu selepas membenarkan permohonan petisyen difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menggantikan hukuman terdahulu yang didapati bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

Pada 29 November 2006 Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM405,000 terhadap Baharudin selepas didapati bersalah menerima suapan bernilai RM387,500 termasuk nilai set golf bagi melancarkan urusan menandatangani perjanjian usahasama projek pembangunan perumahan bercampur antara MPK dan Sonati Development Sdn Bhd pada 1999.

Bagaimanapun selepas dijatuhi hukuman pada 2006, Baharudin mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi supaya keputusan hakim itu dikaji semula namun semalam Mahkamah Tinggi menolak rayuan itu selepas mengambil kira kejayaan pendakwaan mewujudkan prima facie di dalam kes terbabit.

Pada 21 Mei 2008, SPRM melalui Timbalan Pendakwa Rayanya, Ishak Mohd Yusoff memohon Mahkamah Tinggi mengenepikan hukuman oleh Mahkamah Sesyen yang didapati ringan berbanding peruntukan Seksyen 16 Akta Pencegah Rasuah (APR) 1997.

Mengikut seksyen itu, denda bagi mereka yang disabitkan kesalahan seharusnya tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi tetapi Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhi hukuman denda RM405,000 serta penjara empat tahun terhadap tertuduh.

Zamani kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM1.5 juta bagi pertuduhan pertama iaitu lima kali ganda nilai suapan, diikuti RM125,000 bagi pertuduhan pindaan kedua dan RM300,000 bagi pertuduhan ketiga manakala bagi pertuduhan keempat, mahkamah mengekalkan hukuman penjara selama empat tahun berkuatkuasa hari ini.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Baharudin antara 5 dan 15 Februari 1999 di Pejabat MPK di Persiaran Jubli Emas, di sini, dituduh secara rasuah meminta suapan tiga peratus daripada RM10 juta kos pembangunan projek yang menyamai RM300,000 daripada seorang kontraktor Nik Mokhtar Nik Hassan, sebagai dorongan kelulusan cadangan projek pembangunan terbabit dan didapati salah mengikut Seksyen 10(a)(bb) AKR 1997 (Akta 575).

Pada pertuduhan pindaan kedua, Baharudin pada 3 Jun 1999 pukul 1.30 petang, beliau dituduh melakukan kesalahan itu dalam kereta dengan nombor pendaftaran WDT 399 di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur secara rasuah dituduh menerima suapan wang tunai RM25,000 daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan sama dan didapati salah mengikut Seksyen 11(a) akta sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, Baharudin pada 9 Julai 1999 di pejabat MPK, di sini, kira-kira pukul 5 petang bersetuju menerima suapan RM60,000 iaitu RM30,000 wang tunai dan RM30,000 lagi dalam bentuk cek daripada Nik Mokhtar, untuk tujuan sama dan didapati salah mengikut Seksyen 11(a) akta sama.

Dalam pertuduhan keempat, tertuduh pada 27 Oktober 1999, kira-kira pukul 1 petang, di Kedai Tan Aik Hin di No 51, Jalan Besar, dekat Padang Besar dituduh menerima satu set golf jenis Mizuno bernilai RM2,500 daripada individu sama yang diketahui mempunyai hubungan dengan projek pembangunan di mukim Titi Tinggi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain