suria

Jeffrey Kitingan dialu-alukan sertai BN

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang meletakkan jawatan naib presiden dan anggota majlis tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), dialu-alukan menyertai Barisan Nasional (BN), kata seorang pemimpin kanan Umno Sabah hari ini. 'Memang, kita alualukan beliau (Jeffrey) kembali ke dalam BN...(kerana) beliau tidak bersendirian, beliau juga mempunyai penyokong," kata timbalan ketua menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga setiausaha umno negeri.

Sementara itu, Dr Jeffrey dijangka menghantar surat peletakan jawatannya ke ibu pejabat parti hari ini, tetapi akan kekal sebagai anggota biasa parti, menurut bekas pembantunya Kanul Gindol.

Adalah dipercayai kebanyakan ketua bahagian di Sabah termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua baru PKR Sabah.

Sementara itu, Parti Bersatu Sabah (PBs) kini berdiam diri mengenai isu berkenaan, sehingga Dr Jeffrey memutuskan untuk menyertai PBS.

"Bila tiba masanya kita akan seberangi jambatan. Buat masa ini kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi," kata setiausaha agungnya Datuk Radin Malleh bila ditanya sama ada Dr Jeffrey bercadang menyertai PBS.

Selain Dr Jeffrey, Ketua PKR bahagian Kota Kinabalu Christina Liew juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain