suria

Tindakan Badrul jadi wakil rakyat bebas langkah bijak

SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar mengalualukan tindakan berani dan bijak Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Selain daripada mengumumkan keluar PKR serta merta, Badrul juga mengumumkan pada satu sidang akhbar di ibu negara petang tadi bahawa beliau akan menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Ini merupakan satu tindakan bijak. Dia tahu hak dia sebagai Wakil Rakyat...bila dah jadi Wakil Rakyat tidak ada sesiapa boleh paksa dia letak jawatan. Kalau Badrul dipecat dari partinya sekalipun dia tetap wakil rakyat di kawasan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Oleh kerana Badrul telah menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN), maka wakil rakyat bebas itu boleh memohon bantuan peruntukan bagi pembangunan kawasan Pelabuhan Klang daripada kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor di sini, kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Barisan Nasional bersedia memberikan bantuan atas sokongan beliau kepada BN bagi membangunkan secara bersamasama kawasan yang diwakili Badrul," katanya.

Ketika diminta mengulas tindakan Badrul itu bahawa ia masih tidak akan mengubah kuasa politik di Selangor, Noh berkata itu bukan soalnya tetapi langkah pertama Badrul Hisham itu menunjukkan beliau tidak selesa duduk di dalam kerajaan pakatan pembangkang.

"Diharap dengan tindakan bijak Badrul itu, rakyat boleh menilai... PKR (Parti Keadilan Rakyat) bukan sahaja tidak menunaikan janji malah dengan ADUN mereka sendiri mereka amal pilih kasih."

Dengan keputusan Badrul menjadi wakil rakyat Bebas, Pakatan Rakyat kini memegang 35 kerusi manakala manakala Barisan Nasional mempunyai 20 kerusi. Selangor 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bagi mendapatkan majoriti mudah iaitu 29 kerusi di Selangor, Barisan Nasional masih memerlukan lapan lagi kerusi walaupun dengan sokongan Badrul Hisham.

Bagaimanapun, pada masa ini Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah digantung daripada menghadiri dewan selama setahun sejak Julai lepas.

Dr Khir digantung kerana beliau gagal menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri isteri Selangor (BALKIs).

Empat lagi ADUN BN ialah Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (BN-Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (BN Batang Kali) dan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana mengkritik SELCAT.

Dengan ketiadaan lima ADUN BN yang digantung, Barisan Nasional masih kekurangan 16 undi termasuk Badrul Hisham di dalam dewan pada masa ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor Abdul Shukur Idrus menyifatkan tindakan Badrul sebagai tepat setelah merasai pengalaman sendiri bersama PKR yang ternyata gagal memenuhi janji kepada pengundi.

"Kita ucapkan tahniah kerana Badrul buat keputusan tepat. Jangan salahkan Badrul Hisham kononnya beliau tidak pandai memimpin, malah dalam Umno kita sedia menerimanya dan membimbing," katanya.

Beliau berkata sebagai orang baru Badrul sepatutnya dibimbing dan diberi panduan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata tindakan Badrul Hisham itu merupakan satu semangat dari gagasan 1Malaysia yang menjadi aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Badrul mengambil langkah tepat sejajar dengan semangat 1Malaysia yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi beliau sendiri dipilih oleh rakyat di kawasannya.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M.Zin pula berkata tindakan Badrul Hisham itu menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sedang dalam keadaan retak menanti belah terutamanya beberapa isu berbangkit seperti kemelut PAS serta isu pergolakan PKR di Sabah.

Ketua Pemuda MIC Selangor, Shanker Raj Ayanger berkata keputusan Badrul Hisham itu memberikan gambaran jelas tidak wujudnya kompromi sesama pemimpin kerajaan campuran di Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain