suria

Pelepasan diri bagi cukai pendapatan dinaikkan kepada RM9,000

KUALA LUMPUR: Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peningkatan dalam jumlah pelepasan diri bagi pembayar cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, dan penstrukturan semula skim subsidi minyak.

Pembentangan Belanjawan 2010 oleh Najib yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini jelas mengetengahkan keutamaan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, apabila beliau mengumumkan pelbagai pelepasan dan juga kemudahan, khusus untuk manfaat rakyat.

Merujuk kepada pelepasan cukai itu Perdana Menteri berkata ia bermakna setiap pembayar cukai individu akan menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000, dan pelepasan ini juga berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010.

Dalam bajet yang pertama kali dibentangkannya sebagai Menteri Kewangan, Najib berkata bagi memastikan cukai pendapatan individu kekal kompetetif dan meneruskan agenda ekonomi berdasarkan kepada kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus mulai tahun depan.

Berikutan itu katanya kadar cukai maksimum bagi koperasi diturunkan kepada 26 peratus, manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

Sementara itu dalam usaha menarik lebih ramai bakat dari dalam dan luar negara, dan bagi merancakkan lagi pembangunan Wilayah Pembangunan Malaysia, kerajaan mencadangkan satu insentif cukai yang amat inovatif dan radikal.

"Kerajaan mencadangkan cukai keatas pendapatan penggajian bagi pekerja berpengetahuan rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia, dikenakan cukai pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksimum 26 peratus untuk seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata mereka yang layak untuk menikmati cukai ini adalah dalam aktiviti yang layak sahaja seperti teknologi hijau, bioteknologi, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultansi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan.

"Mereka juga mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi. Galakan ini ditawar kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan," tambahnya.

Mengenai penstrukturan semula skim subsidi minyak pula Perdana Menteri berkata, ketika ini semua pengguna kenderaan menikmati manfaat skim minyak bersubsidi kerajaan, termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing, dan ini membebankan kerajaan.

"Bagi memastikan hanya kumpulan sasar diberi subsidi, kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010. Sistem yang mesra rakyat ini akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada," katanya.

Menyedari betapa pentingkan rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan yang tetap dan berterusan selepas persaraan, Najib berkata kerajaan mencadangkan pelaksanaan satu skim anuiti.

"Ini adalah kerana tabungan di Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mungkin tidak mencukupi memandangkan jangka hayat rakyat malaysia yang semakin meningkat. Justeru itu skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan," katanya.

"Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak RM6,000 yang sedia ada untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada RM7,000.

"Kenaikan RM1,000 ini adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Januari 2010 untuk tujuan persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain