suria

Puteri mahu peranan sebagai penyokong Umno bukan sekadar perayu undi

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini mahu peranan pergerakan itu diangkat sebagai pengukuh dan penyokong kepada Umno dan bukan sekadar golongan berkempen dan merayu undi ketika pilihan raya sahaja.

Rosnah dalam ucapan sulunganya sebagai Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung pergerakan itu mahu kedudukan mereka diangkat ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan dua sayap yang lain iaitu Wanita dan Pemuda.

Beliau berkata, Puteri Umno turut berjuang dalam soal memartabatkan agama, bangsa dan negara. "Jika mereka (Wanita dan Pemuda) menjadi sayap, kita juga mesti terbang dengan sayap itu. Jika mereka menjadi tulang belakang, biarlah kita kekal menjadi tulang rusuk yang menjadi pasak yang kukuh.

"Pasak pada tiang seri sebuah rumah yang kukuh berdiri tanpa sebatang pun kaku," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Menggarap 1Perjuangan, Mengukuh Puteri, Menjulang Parti.”

Rosnah berkata, ahli pergerakan itu yang dikategorikan sebagai golongan muda, cantik, pandai, bergaya dan berpendidikan tinggi namun dalam masa yang sama mereka mesti peka kepada tuntutan semasa.

Jelasnya, ahli Puteri perlu sentiasa memikirkan perihal bangsa dan agama apabila kedudukan Umno yang semakin tidak selesa berikutan ungkitan demi ungkitan membabitkan perkara yang sudah pun dipersetujui perlembagaan.

Turut hadir dalam persidangan pergerakan Puteri Umno hari ini ialah, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan dua bekas Ketua Puteri, Datuk Azalina Othman Said dan Datuk Noraini Ahmad.

Pindaan perlembagaan

Dalam ucapannya itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menyentuh mengenai cadangan pindaan perlembagaan parti yang akan memudahkan proses transformasi Umno ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

"Transformasi ini akan menjadikan Umno parti yang benar-benar mewakili setiap golongan di peringkat akar umbi.

"Paling penting penglibatan golongan muda dipertingkatkan. Dengan menjadikan Ketua Puteri Cawangan dan ketua Pemuda secara automatik sebagai perwakilan ke bahagian maka golongan muda akan membentuk satu angka yang signifikan dalam parti.

"Selain itu, lebih ramai ahli terlibat dalam pemilihan jawatan Presiden serta semua jawatan tertinggi parti menjadikan pemimpin Umno adalah gambaran yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Menurutnya, cadangan agar ketua sayap secara automatik menjadi perwakilan ke bahagian membolehkan mereka lebih berperanan dan mempunyai kuasa untuk memilih dari jawatan tertinggi parti sehingga ahli-ahli Majlis Tertinggi.

"Ini bermakna kuasa memilih pucuk pimpinan parti tidak lagi berada di tangan 2,500 perwakilan sebaliknya ia akan diturunkan kepada 150,000 perwakilan di 191 perwakilan bahagian.

"Kaedah baru ini bukan saja membendung politik wang, malahan ia juga menjadikan Umno benar-benar serius mahu melibatkan ahli-ahli mengambil bahagian dalam struktur dan proses membuat keputusan," katanya.

Kata Rosnah, pindaan perlembagaan itu juga akan membolehkan ketua sayap cawangan menandatangani borang untuk permohonan menjadi ahli Umno dan langkah tersebut akan menjadikan parti itu tidak eksklusif untuk golongan tertentu sahaja.

"Kesemua pindaan ini penting untuk membolehkan jangka hayat Umno bertahan sebagai sebuah parti yang memenuhi aspirasi rakyat. Ia juga amat relevan untuk memastikan kesinambungan Umno sebagai parti yang menjiwai keperluan golongan muda.

"Dengan perubahan ini Umno, akan kembali mendukung asas perjuangannya untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara. Hakikatnya, transformasi parti menuntut kita sebagai ahli mengikut akujanji bahawa kita mesti berubah," katanya.

‘Gunting dalam lipatan’

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, turut menyeru ahli-ahli pergerakan Puteri supaya menjauhi budaya ‘gunting dalam lipatan’ yang akan hanya merosakan perpaduan dalam pergerakan itu.

"Jangan ada yang menjadi ‘api dalam sekam’, perlahan-lahan membakar dan menyemarakkan api kebencian sesama kita dan membenci pemimpin, sehingga merungkai tali perpaduan dan kasih sayang yang selama ini mejadi pengikat kepada keutuhan dan kejituan pergerakan ini.

"Kita terpaksa menyentuh soal perpaduan, sokonganj dan kesetiaan kepada pemimpin. Kita tidak mahu pergerakan yang ditubuhkan ini menjadi beban pula kepada Umno," katanya.

Rosnah turut mengumumkan bahawa pergerakan itu akan melancarkan ‘Program Menjejaki Puteri’ bagi menambah ahli baru yang menjadi salah satu perkara yang digariskan dalam KPI politik yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Program tersebut akan bermula pada 1 November 2009 hingga 31 Mei 2010.

"Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui DAP dan PAS paling aktif mencari pengundi baru, maka Puteri mesti bertindak lebih agresif untuk mencapai matlamat itu. Masa kita tidak panjang. Sehari kita bertangguh mungkin kita terlepas berpuluh ahli baru," katanya.

Semalam, dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin menyeru ketiga-tiga sayap Umno mewujudkan KPI politik dengan menambah bilangan anggota baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rosnah turut membangkitkan isu pendidikan, kemiskinan bandar, ekonomi Melayu, bahasa, kerjaya, agama, kesihatan, 1Malaysia dan Portal Puteri Umno Malaysia.

Artikel Berikut

Artikel Lain