suria

Usul sejarah dan penyertaan Puteri tarik perhatian perwakilan

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno turut mencadangkan untuk menjadikan subjek sejarah sebagai subjek teras dan wajib lulus dalam peperiksaan kerajaan, sepertimana subjek Bahasa Malaysia.

Usul tersebut disokong oleh ahli pergerakan itu.

Exco pergerakan itu Wan Salwani Abdullah berkata dengan memahami dan menghayati sejarah negara, masyarakat khususnya generasi muda akan sentiasa menjaga dan memelihara negara daripada ancaman anasir luar.

“Kefahaman terhadap sejarah negara dapat menghalang rakyat negara ini daripada terpedaya oleh pihak yang berniat jahat.

“Mereka berbuat demikian untuk memutarbelitkannya bagi tujuan tertentu, terutama yang berkaitan dengan Hak Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Negara dan keistimewaan hak orang Melayu,” katanya ketika menyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di sini hari ini.

Wan Salwani berkata sejarah tidak harus dianggap sekadar mata pelajaran semata-mata dengan hanya mengingati tarikh-tarikh penting, sebaliknya sejarah juga menjadi maruah dan kedaulatan negara bangsa.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno ke Persidangan Pergerakan Puteri Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata jika Umno benar-benar mahu berubah dan memperkukuhkan kedudukannya di kalangan masyarakat, maka sumbangan semua pihak sama ada kecil atau besar tanpa mengira mana-mana sayap perlulah dinilai dengan sebaik mungkin.

"Saya difahamkan, Puteri agak bermasalah kerana tidak dapat bersuara dengan jelas dan lantang untuk mengenegahkan apa-apa idea dan perkara ini tidak harus berlaku, " katanya ketika berucap dalam persidangan Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Rabu.

Tajuddin berkata, Puteri wajar diberikan pengiktirafan berdasarkan sumbangan mereka dalam menjayakan matlamat perjuangan parti itu, dan Barisan Nasional (BN) telah mengiktiraf sumbangan besar Puteri selama ini.

"Dalam pilihan raya umum pada tahun 2004, kemenangan besar adalah atas sumbangan Puteri juga. Walaupun tidak cemerlang pada (piliham raya umum) 2008, tapi kalau tanpa sumbangan Puteri, mungkin kita akan lebih teruk daripada apa yang dicapai ketika itu," katanya.

Malah jelasnya lagi, rekod keahlian Puteri telah bertambah sejak penubuhannya di mana bertambah kepada 100,000 orang dalam tempoh setahun, dan kini mencatat seramai , lebih 300,000 anggota.

Artikel Lain