suria

Bekas ketua PKPM, pengarah syarikat didenda RM105,600

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) Nor Azami Ahmad Ghazali dan tiga anggota keluarganya didenda sejumlah RM94,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 110 tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Hakim Rozana Ali Yusuff mendapati Nor Azami, 41, isterinya, Sarina Mansor, 38, ibunya, Saliah Ramli, 61, dan abangnya, Nordin Ahmad Ghazali, 44, bersalah selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Nor Azmi didenda didenda RM72,100 terhadap 55 pertuduhan, Sarina RM1,500 (35 tuduhan), Saliah RM2,800 (lapan tuduhan) dan Nordin dikenakan denda RM4,800 atas 12 pertuduhan.

Kesemua tertuduh, yang menjadi pengarah 10 syarikat, didapati bersalah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan syarikat, menyerahkan penyata tahunan dan gagal membentangkan akaun untung rugi syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Sri Pantai, Pantai Baru di sini antara 2001 dan 2004.

Selain itu, 10 syarikat berkenaan juga didenda RM11,400 terhadap 33 tuduhan kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan gagal menyerahkan penyata tahunan syarikat itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Rozana, memberitahu Nor Azami bahawa dia mempunyai tanggungjawab besar dan perlu memahami segala prosedur yang ditetapkan oleh SSM sebelum menubuhkan syarikatnya.

Katanya walaupun tiga tertuduh lain adalah juga pengarah syarikat tetapi mahkamah melihat Nor Azami merupakan watak utama dan penentu dalam syarikat berkenaan.

Sepanjang perbicaraan seramai tiga saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari SSM, Mohd Azies Han Mohd Fadzil manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Joseph Iruthayam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain