suria

“Lebih baik block!” - Adira elak komunikasi dengan bekas suami, enggan emosi terganggu

Adira memilih untuk menyekat nombor Datuk Red.

PENYANYI Adira Suhaimi memilih untuk menyekat akses komunikasi terhadap bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red menerusi telefon bimbit demi menjaga kestabilan emosi.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 35, berkata langkah tersebut diambil bagi mengelakkan berlakunya pertikaman lidah dan salah faham yang boleh mengeruhkan lagi hubungan mereka selepas bercerai.

"Saya sekat sebab nak jaga emosi. Pada masa sama, saya mahu perkara antara kami selesai dengan cepat.

Adira tidak mahu terganggu emosi disebabkan Datuk Red. 

"Kami sedar mulut masing-masing mudah bergaduh. Kalau terus berbalas mesej, risau jadi pergaduhan. Jadi, kalau berbalas pun, perkara ini tak akan habis," katanya kepada mStar. 

Mendedahkan situasi sebenar, Adira mengakui tindakan menyekat nombor telefon bekas suaminya itu bukanlah perkara baharu, malah dia sudah berulang kali melakukan perkara yang sama sebelum ini.

Bagaimanapun Adira menyedari bahawa membuka semula sekatan hanya akan membuatkan perasaannya kembali bercampur-baur.

ARTIKEL BERKAITAN: Adira tunjuk bukti Datuk Red minta RM100,000, setuju tidak teruskan tuntutan hutang dalam perkahwinan

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen desak Datuk Red belum ‘move on’, tunggu 25 Jun untuk ceraikan Adira... "Kalau boleh mahu segera"

"Bila saya sudah sekat, saya fokus pada kerja dan anak-anak. Saya memang pernah sekat dan nyahsekat banyak kali.

"Tapi bila sekat, emosi saya jadi tak terjaga. Kadang-kadang kita mahu selesaikan secara baik, tapi tak berjaya. Jadi, lebih baik sekat sahaja," ujarnya

Adira dalam masa sama menegaskan dia sama sekali tidak pernah menghalang Datuk Red daripada menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.

Ujarnya, bekas suaminya itu masih boleh berhubung menerusi ahli keluarga atau pembantu peribadi jika ingin bertanya khabar atau bertemu dengan cahaya mata mereka.

"Walaupun saya sekat, dia boleh hubungi pembantu atau adik-beradik saya. Dia juga tahu rumah saya di mana.

Adira tidak halang Datuk Red untuk bertemu anak-anak. 

"Saya tidak pernah menghalang dia berjumpa anak, ambil anak atau bermalam dengan mereka. Sekurang-kurangnya sebulan sekali dia akan ambil anak-anak. Saya bersyukur sebab dia masih ambil tahu mengenai mereka," katanya.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red sah bercerai dengan talak satu pada April tahun lalu selepas sembilan tahun melayari bahtera rumah tangga.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggerik, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain