suria

Latihan amali tsunami di Langkawi esok

LANGKAWI: Orang ramai di Pulau Langkawi dinasihati agar tidak panik jika terdengar siren dan amaran tsunami yang memberi arahan supaya mereka berpindah ke tempat yang selamat tengah hari esok kerana ia hanyalah satu latihan amali.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara Rodzi Md Saad berkata latihan Indian Ocean Wave 2009 itu adalah yang pertama kali diadakan secara serentak di negara-negara di sekitar Lautan Hindi.

Beliau berkata ia merupakan satu latihan bagi menguji kepantasan penyaluran maklumat mengenai gempa bumi dan amaran awal mengenai sesuatu bencana seperti tsunami.

"Kami menjangka akan menerima isyarat amaran tsunami yang dikeluarkan oleh pusat pemantauan Tsunami di Hawaii dan di Tokyo, Jepun pada pukul 11 pagi esok dan latihan amali ini akan dilakukan dalam keadaan seolah-olah ia kejadian yang sebenar," katanya di sini hari ini.

Menurutnya kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Kuala Melaka dan Kuala Triang akan terlibat dalam latihan ini dan penduduk dinasihati supaya mengikut arahan polis serta pasukan bantuan lain yang terlibat.

Rodzi berkata Ketua Polis Daerah Langkawi dilantik sebagai komander untuk mengeluarkan arahan dan memantau operasi bantuan serta mencari dan menyelamat bagi mengendalikan operasi menyelamat orang ramai ketika berlaku bencana alam.

Beliau berkata latihan amali itu juga bertujuan memastikan sistem komunikasi dan sistem amaran itu berjalan lancar dan memastikan keberkesanan pelaburan kerajaan untuk persiapan menghadapi bencana seperti tsunami.

"Selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, menerusi latihan ini, kami dapat pastikan pelaburan untuk keselamatan rakyat adalah berkesan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain