Wanita Thailand geng samun bersenjata api ditembak mati

BUKIT MERTAJAM: Polis menembak mati seorang wanita anggota geng samun bersenjata api yang sangat dikehendaki dalam kejadian berbalas tembak di Taman Pearl di sini, malam tadi.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata wanita berusia 34 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua kumpulan terbabit adalah rakyat Thailand dan berdasarkan rekod dia terlibat dalam beberapa kes jenayah seperti samun bersenjata api, culik dan pengedaran dadah.

Polis menemui sepucuk pistol dan beberapa butir peluru di dalam kereta yang dinaiki wanita itu, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Beliau berkata operasi polis pada pukul 11.15 malam tadi dibuat hasil risikan sejak beberapa minggu lepas dan wanita itu mulanya dikesan berada dalam sebuah kereta di perkarangan sebuah rumah di taman berkenaan.

"Suspek yang menyedari diperhatikan polis cuba melarikan diri dengan bertindak memandu kereta jenis Waja menuju ke kawasan tokong berhampiran taman berkenaan dan cuba memecut keretanya ke laluan lain, tetapi berjaya dipintas polis.

"Sebaik diminta menyerah diri, wanita terbabit melepaskan tembakan ke arah polis yang mengenai cermin sebelah tepi serta belakang kereta polis. Tindakan wanita itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu wanita itu menggunakan nombor pendaftaraan palsu dan dipercayai dicuri di negeri ini.

"Selain itu terdapat sebuah motosikal di rumah berkenaan dan kami dapati ia di curi di Kulim, Kedah. Kami tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan menggunakan rumah terbabit sebagai tempat berkumpul atau tinggal di situ," katanya.

Ayub berkata berdasarkan siasatan awal juga, polis percaya kumpulan terbabit terlibat dalam kes penjualan dan penyeludupan senjata api yang dibawa masuk dari negara jiran untuk diedar di negara ini.

"Siasatan juga mendapati mereka selalu berulang alik dari negara jiran, dipercayai untuk membawa masuk senjata api. Mereka ini satu kumpulan yang sangat bahaya," katanya.

Sehubungan itu, Ayub berkata polis kini memburu empat lagi anggota kumpulan itu yang telah dikenalpasti dan polis juga menjalankan siasatan terhadap beberapa premis sekitar Bukit Mertajam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah kumpulan terbabit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik