suria

12 Mei diisytihar Hari Jururawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengisytiharkan 12 Mei setiap tahun sebagai Hari Jururawat Malaysia untuk mengiktiraf sumbangan jururawat yang berterusan terhadap sektor penjagaan kesihatan di negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata cadangan Hari Jururawat Malaysia telah diluluskan kabinet barubaru ini.

Walaupun 93 peratus kekosongan jawatan jururawat dalam sektor awam telah diisi dan kirakira 7,000 jururawat baru dikeluarkan setiap tahun, masih lagi terdapat kekurangan dalam bidang itu terutamanya dalam penjagaan kesihatan tertentu seperti palliatif dan unit penjagaan rapi (ICU).

Beliau berkata terdapat kira-kira 79,742 jururawat di seluruh negara dengan 59,000 di sektor kerajaan.

"Kini, nisbah populasi jururawat kita ialah 1:329 dan kita harap untuk mencapai tanda aras Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 1:200 pada tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kejururawatan Antarabangsa dekat sini.

Setakat ini, ada 107 kolej kejururawatan dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kurus kejururawatan di seluruh negara, kata beliau.

Terdahulu dalam ucapan, Liow berkata jururawat yang menjadi barisan hadapan penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah antara yang pertama menerima suntikan Influenza A(H1N1) apabila hantaran pertama vaksin itu tiba di negara pada akhir bulan ini. BERNAMA

Artikel Lain